Pop-up WhatsApp Takaful
WhatsApp
Skip to main content
Adakah Perlu Untuk Buat Poster Orang Meninggal?
0878b00e-af3e-4248-8130-3c9a00a9f050.png

Soalan: Adakah menjadi keperluan untuk kita membuat poster hitam putih untuk orang meninggal dunia dia status whatsapp, story ig dll

Jawapan: Terima kasih atas soalan yang diajukan. Secara asasnya, apabila kita dapat tahu bahawa ada orang yang meninggal tidak menjadi kewajiban ataupun satu keperluan untuk menghasilkan poster hitam putih sepertimana yang berlaku pada masa kini.

Namun, tidaklah salah untuk kita buat poster tersebut jika kita mahu menyebarluaskan perkhabaran bahawa ada kematian yang berlaku sebagai tanda peringatan kepada yang melihat status kita untuk muhasabah atau mungkin untuk memudahkan orang lain untuk membantu apa yang patut pada keluarga si mati.

Berikut saya kongsikan apa yang boleh kita lakukan apabila mendengar perkhabaran kematian yang berlaku:

1. Ucapkan ucapan istirja'(Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un)

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kami kembali.”

(Surah al-Baqarah ayat 156)

2. Mendoakan si mati.

Nabi ﷺ apabila mendengar kematian berkata:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ، وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ…

Maksudnya: “Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, sejahterakanlah dia dan maafkanlah dia. Muliakanlah tempat masuknya (ke syurga) dan luaskanlah tempat tinggalnya (dalam kubur).”

(Riwayat Abu Dawud dan at-Tirmizi)

3. Ucapan Takziah

Sebagaimana Nabi ﷺ bersabda:

مَنْ عَزَّى مُصَابًا فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengucapkan takziah kepada orang yang ditimpa musibah, dia akan mendapat pahala seumpama orang itu.”

(Riwayat al-Baihaqī dalam Syuʿab al-Īmān)

Contoh lafaz yang boleh diamalkan:

أَعْظَمَ اللَّهُ أَجْرَكَ، وَأَحْسَنَ عَزَاءَكَ، وَغَفَرَ لِمَيِّتِكَ

Maksudnya: “Semoga Allah melipatgandakan ganjaranmu, memperelokkan kesabaranmu dan mengampunkan si matimu.”

4. Menyegerakan pengurusan jenazah

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ…

Maksudnya: “Segerakanlah pengebumian jenazah…”

[Hadis Riwayat Bukhārī (1315) dan Muslim (944)]

5. Menyediakan makanan untuk keluarga si mati

Dari ʿAbdullah ibn Jaʿfar RA, ketika Jaʿfar syahid, Nabi ﷺ bersabda:

اصْنَعُوا لِآلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا، فَقَدْ أَتَاهُمْ أَمْرٌ شَغَلَهُمْ

Maksudnya: “Sediakanlah makanan untuk keluarga Jaʿfar, kerana telah datang kepada mereka sesuatu yang menyibukkan mereka.”

[Hadis Riwayat Abu Dāwud (3132), Tirmizī (998)]

6. Tidak Meratap (Niyahah)

لَيْسَ مِنَّا مَنْ ضَرَبَ الْخُدُودَ وَشَقَّ الْجُيُوبَ وَدَعَا بِدَعْوَى الْجَاهِلِيَّةِ

Maksudnya: “Bukan daripada kalangan kami orang yang menampar pipi, merobek baju, dan menyeru dengan seruan jahiliah.”

[Hadis Sahih Muslim (103)]

7. Bersedekah, mendoakan dan melunaskan hutang si mati

Nabi ﷺ bersabda:

نَفْسُ المُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: “Roh seorang mukmin tergantung (tidak tenang) disebabkan hutangnya sehingga ia dijelaskan (dibayar).”

[Hadis Sahih Muslim (1619)]

Kesimpulan:

Tidak menjadi syarat, keperluan apatahlagi suatu kewajiban untuk kita menghasilkan poster hitam putih sebagai tanda perkhabaran kematian untuk kitsa kongsikan pada sosial media kita. Namun, tidak salah jika kita buat untuk dijadikan sebagai peringatan buat yang membaca atau untuk memudahkan orang bagi menolong keluarga si mati. Di samping itu, kita juga dianjurkan untuk melakukakn beberapa perkara yang penting apabila sampai pada kita perkhabaran tentang kematian.