Agama Fairy Tale
Ini hanya merupakan pandangan saya sahaja. Anda boleh bersetuju dan tidak bersetuju dengan apa yang saya coretkan di sini. Jika anda ada pandangan yang anda sangkakan lebih tepat berbanding dengan pandangan saya, saya sangat alu-alukan untuk anda kongsikan di ruang komen supaya kita semua dapat mempelajari sesuatu yang baru.
Saya secara peribadi adalah merupakan orang yang sangat tidak bersetuju dengan konsep agama Islam sebagai agama “fairy tale” atau agama pari-pari. Dalam erti kata yang lain saya sangat tidak bersetuju dengan sebahagian orang Melayu Islam kita yang menganggap agama kita sebagai agama sakti yang apabila hendak mendapatkan sesuatu kita hanya perlu laksanakan sesuatu ibadah tertentu atau amalan tertentu maka secara ajaibnya kita terus dapat perkara tersebut.
Sebagai contoh, sewaktu ketika dahulu dimana saya menyertai pertandingan debat MRSM peringkat kebangsaan di sebuah MRSM. Di sana, saya berkenalan dengan seorang peserta debat yang namanya sentiasa berada pada nombor satu dalam carta peserta debat terbaik daripada kesemua jumlah peserta yang ada. Sebelum kami berkenalan saya amat mengagumi beliau dan berharap dalam kesibukan yang tidak keruan itu kerana kesemua peserta pada ketika itu fokus sedang merancang strategi debat bersama pasukan masing-masing agar saya dapat berjumpa, berkenalan, bersahabat dan meminta kepada beliau untuk berkongsi serba sedikit petua bagaimana beliau cemerlang dalam berdebat.
Saya pasakkan harapan tersebut dalam doa ketika bersujud agar Allah kurniakan saya peluang tersebut untuk mengambil manfaat daripada beliau agar suatu hari nanti mungkin saya boleh amalkan dan kongsikan petua-petua yang belia kongsikan kepada mana-mana sahabat saya yang mahu menyertai debat dan atau menyertai pengucapan awam walaupun saya sedar saya banyak kelompongan namun sekurang-kurangnya petua tersebut datang daripada orang yang sudah terbukti hebat.
Hari berganti hari, disaat akhir malam sebelum tiba hari penutup pertandingan debat Allah makbulkan doa saya iaitu saya terserempak dan berbual dengan insan yang saya berharap untuk bertemu dan mengambil manfaat. Tanpa disangkakan, saya ingat saya perlu kenalkan diri siapa saya tetapi qadarullah beliau telah mengenali saya terlebih dahulu dan cam saya. Tanpa buang masa saya akrabkan hubungan kami kerana sekurang-kurangnya apabila kami pulang ke MRSM masing-masing kami tidak saling melupakan antara satu sama lain.
Dipendekkan cerita, selepas selesai semua urusan yang berkaitan maka sudah sampai masa kesemua peserta debat untuk pulang ke maktab masing-masing dengan menaiki bas yang disediakan oleh maktab dengan membawa pulang kesemua barangan peribadi tanpa meninggalkan apa-apa kecuali kenangan yang tercipta di sana. Banyak memori yang tercipta di sana, walaupun hanya sekali seumur hidup dan beberapa hari sahaja saya berpijak pada bumi MRSM tersebut namun jika saya diberikan peluang untuk hadir ke sana lagi saya tentu boleh ingat selok-belok bangunan dan tempat di sana.
Sewaktu dalam perjalanan ketika saya berada di dalam bas saya mesej sahabat debat saya itu untuk bersembang dan menghilangkan rasa bosan saya di dalam bas. Dalam kami bersembang saya terdetik untuk tanya apa yang telah terbuku di dalam fikiran saya tentang petua beliau boleh menggapai kedudukan teratas dalam pertandingan debat. Saya terus tanya tentang apakah yang beliau lakukan sewaktu hendak menghadapi detik-detik pertandingan debat, apa yang beliau lakukan untuk asah bakat berdebat dalam jangka masa yang panjang, apakah teknik beliau yang membuatkan beliau dapat berada pada kedudukan teratas dalam carta dan apakah usaha daripada pihak sekolah dan guru yang terlibat dalam menghadapi pertandingan ini.
Saya pada ketika itu berharap agar soalan-soalan yang saya ajukan tersebut dapat dijawab dengan jawapan yang terbaik dan memenuhi kehendak saya. Namun, tanpa diduga persoalan saya tersebut dibalas dengan jawapan yang pada saya adalah loyar buruk, tidak bersungguh dan tidak sudi untuk berkongsi. Iaitu apabila beliau membalas dengan mengatakan yang apa yang berlaku dan beliau dapat adalah daripada Allah semata-mata.
Apabila dibalas dengan jawapan sedemikian saya berasa kecewa dan berasa sedikit geram kerana saya mengharapkan sebuah jawapan yang lebih realistik atau yang berpijak pada dunia yang nyata bukan sebuah jawapan yang menggambarkan agama sebagai agama candu dan agama pari-pari. Saya respon semula kepada sahabat saya begitu dan berharap agar beliau berikan jawapan yang berpijak pada dunia yang nyata.
Namun, beliau menemplak saya semula dengan mengatakan kononnya saya orang yang faham agama menggunakan agama untuk menyesatkan orang dan saya digambarkan seolah-olah saya tidak percaya dengan kuasa dan kebesaran Allah. Saya pada ketika itu hanya mampu menahan amarah dan perasaan kecewa yang mendalam kerana sangkaan saya untuk mendapatkan manfaat daripada kebolehan yang Allah kurniakan pada beliau tidak kesampaian.
Tetapi perasaan itu tidak lama apabila selepas daripada mesej tersebut beliau menjawab semua persoalan saya dengan tuntas namun saya dapat rasakan yang beliau masih terasa dengan saya apa yang sebutkan pada beliau sehingga nada mesej itu terlihat seperti melepaskan batuk di tangga. Saya meminta maaf kepada beliau dan kami sudah selesaikan masalah kami secara baik. Alhamdulillah sehingga pada hari ini kami masih bersahabat. Saya sangat menyayangi beliau sebagai sahabat walaupun salam perkenalan kami agak hangat.
Saya tidak suka agama ini digambarkan sebagai agama yang berserah kepada tuhan semata-mata tanpa diselangi dengan penerangan apakah asbab atau tindakan kita dalam mencapai sesebuah perkara tersebut. Islam adalah agama yang menyuruh kita bergerak atau bertindak untuk dapatkan sesuatu bukan hanya semata-mata duduk di satu tempat dan harapkan ianya datang bergolek. Sebagaimana firman Allah SWT iaitu;
إِنَّ اللَّـهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, selagi kaum itu tidak mengubah apa yang ada pada diri mereka.”
(Surah Ar-Rad ayat 11)
Konsep agama yang sepatutnya diperkenalkan kepada masyarakat adalah konsep agama yang bertindak dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu perkara yang diinginkan bukan konsep agama yang berserah semata-mata pada tuhan sekalin alam. Bergerak dan bertindak jangan duduk sahaja!
Dalam hadis daripada Umar bin al-Khattab RA, Nabi SAW bersabda:
لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً
Maksudnya: “Seandainya kamu semua benar-benar bertawakal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.”
(Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Hakim)
Daripada hadis ini kita akan dapat tahu bahawa tawakal yang sebenar adalah apabila kita telah melakukan segala macam usaha untuk mendapatkan perkara yang kita mahukan bukan terus serah membuta-buta tanpa berusaha. Ubah cara kita faham agama dan ubah cara kita berkongsi rahsia kejayaan kepada masyarakat. Jangan bimbang masyarakat di Malaysia sudah sedia maklum Allah yang Maha Memberi rezeki jadi tidak salah jika kita kongsikan tindakan kita untuk ke arah tersebut.