Soalan: Hukum couple
Jawapan: Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT atas segala nikmat yang Allah telah kurniakan pada kita semua sehingga pada hari ini.
Terima kasih kepada saudara atas soalan yang diajukan ini. Walaupun jawapan kepada persoalan ini banyak dijawab oleh ramai individu dan asatizah di luar sana namun insya-Allah saya akan cuba memberi jawapan saya sendiri untuk para pembaca khususnya saudara yang bertanya untuk menilai dan mengambil manfaat serba sedikit untuk dikongsikan pada orang ramai.
Untuk pengetahuan semua yang membaca, apabila saya menerima soalan ini saya tawaqquf sebentar dan mengambil masa yang agak lama untuk saya cuba memahami tentang isu couple ini dan juga merangka jawapan dengan berlandaskan dalil al-Quran dan juga sunnah.
Walaupun secara kasarnya jawapan terhadap isu ini mudah sahaja untuk jawab namun untuk saya berlaku adil dan memahaminya daripada pelbagai sudut ianya agak sukar dan mengambil masa agar saya dapat bahaskan isu ini secara kolektif tanpa mengetepikan aspek-aspek penting yang menjadi tonggak untuk kita mempertimbangkan semula kegopohan kita dalam menilai perkara ini.
Sewaktu saya masih berada di bangku sekolah menengah atau lebih tepatnya sewaktu saya masih merupakan murid di MRSM saya mempunyai pandangan yang cukup negatif terhadap budaya couple ini. Jika ada yang mengenali saya tentu mereka tahu bahawa saya merupakan individu yang sangat anti kepada budaya couple ini bahkan di banyak ruang perbincangan bersama dengan ahli BADAR MRSM atau bersama asatizah tentulah tidak lekang dalam membincangkan mengenai bagaimana hendak membanteras gejala ini.
Topik mengenai couple begitu hangat di sana bahkan sehingga menjadi isu yang bukan sahaja melibatkan organisasi BADAR atau asatizah di sana sahaja tetapi melibatkan warden-warden dan juga guru-guru yang lain. Pelbagai usaha dan ikhtiar yang dilaksanakan oleh pihak asatizah dan juga murid-murid yang berjawatan namun hasilnya tidak memberangsangkan.
Bahkan, ada juga dikalangan murid daripada golongan yang menentang budaya ini sehingga menyebabkan mereka ghuluw atau melampau dalam menangani budaya ini. Ada yang memukul, ada yang menerakakan, ada yang salah guna dalil dan ada juga yang ungkapkan perkataan yang tidak elok apabila mencegah. Salah seorang yang terlibat dalam perbuatan tersebut adalah diri saya sendiri.
Pada ketika itu, saya berpegang kepada pandangan yang menyebutkan bahawa couple itu haram secara mutlak kerana perbuatan tersebut adalah perbuatan yang mendekati zina dan perbuatan itu diharamkan secara jelas oleh al-Quran iaitu:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
(Surah al-Isra ayat 32)
Selain itu, pendekatan saya ini juga dipengaruhi oleh ceramah-ceramah ustaz yang sangat menentang keras dengan budaya couple ini dan juga saya dipengaruhi oleh suasana atau persekitaran yang memandang couple ini sebagai barah yang sangat berbahaya kepada generasi muda di MRSM saya. Erti kata mudah, couple adalah haram dan mesti ditinggalkan oleh kita semua.
Namun, apabila saya makin membesar dan berfikir mengenai isu ini saya dapati tidak mungkin Islam adalah agama yang menghalang fitrah manusia. Semua manusia yang diciptakan oleh Allah berhak untuk berkehendak mempunyai perasaan cinta dan sayang kepada yang berlainan jantina.
Walaupun perkataan cinta dan sayang itu tidaklah hanya merujuk kepada hubungan sesama manusia sahaja sebaliknya perkataan itu agak umum dan boleh dipadankan dengan Allah SWT, Nabi SAW, bahasa, agama, subjek atau segala apa yang dihargai. Cinta beerti kasih sayang dan perasaan ingin snetiasa bersama dengannya.
Dalam konteks cinta antara hubungan lelaki dan wanita sudah tentulah salah satu manifestasinya adalah melalui hubungan seks walupun bukan semua yang melakukan seks itu bercinta namun seks itu merupakan perkara utama dalam hidup berpasangan. Ahli fiqh pun mentakrifkan nikah sebagai akad yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan wanita. Suami yang tidak mampu dan berupaya hendak melakukan hubungan seks boleh dipisahkan daripada sesebuah perkahwinan tersebut. Seks bukanlah merupakan suatu perbuatan yang keji bahkan mendapat pahala jika kita melakukannya mengikut aturan yang ditetapkan.
Cinta kepada pasangan kerana mendambakan seks itu benar dan wujud. Namun yang menjadi persoalannya adalah bilakah keinginan untuk melakukan seks itu sepatutnya muncul? Jika seseorang mengidamnya sebelum berkahwin, maka perkara itu salah namun jika seseorang itu mahukannya selepas pernikahan, maka pahala akan menyusul tiba. Bercinta atau mempunyai rasa sayang antara lelaki dan perempuan yang ingin hidup bersama adalah normal. Perkara yang men jadi kerumitan dalam hal ini adalah bagaimana hendak mengawal dan menguruskan cinta.
Jika kita melihat peredaran sejarah mengenai cinta ini maka kita akan dapati cinta ini telah memeriahkan banyak kehidupan manusia. Sama ada dalam menzahirkan ungkapan indah yang berbentuk puisi dan lagu yang dipetik dari zaman ke zaman. Ianya dikongsi bersama oleh hampir kesemua insan melainkan yang kontang fitrahnya. Daripada Qais sehinggalah kepada Celine Dion. Ungkapan cinta yang indah antara lelaki dengn wanita itulah yang diulang berkali-kali. Ianya merupakan fenomena sejagat. Meskipun ramai orang yang lebih berusia berbanding kita yang mengharamkan cinta kepada generasi muda pada hari ini, mereka juga pernah bercinta pada zaman mudanya.
Apabila melihat kepada kerosakan masyarakat yang berlaku atas nama cinta, maka wujudlah golongan yang kuat agama menyalahkan cinta itu sendiri sehingga menganggap sesiapa sahaja yang jatuh cinta kepada seseorang yang boleh dikahwini maka ia adalah merupakan satu dosa. Lantaran itu, tidak peliklah jika terdapat orang yang bertanya soalan tentang hukum bercinta. Jika ada dalam kalangan asatizah yang menjawab ianya adalah haram kerana katanaya ia berpunca daripada syaitan dan budaya Barat, maka sempitlah perasaan golongan yang hangat bercinta, khusunya yang masih muda.
Selain itu, terdapat juga mereka yang terlalu kuat agama akan berkata, "kahwin teruslah. Nanti lepas kahwin baru bercinta". Namun, orang tersebut belum lagi bekerja, belum lagi mampu menyediakan belanja sebagai seorang suami. Yang dia ada hanyalah perasaan cinta. Jika si anak muda itu meminang buah hatinya pun tentulah si bapa wanita tersebut akan menolak.
Jika kita meneliti dalil-dalil Islam, kita akan dapati bahawa tiada dalil daripada al-Quran dan Hadis yang mengharamkan diri kita untuk mencintai seseorang yang ingin dijadikan sebagai pasangan hidup. Sebaliknya, yang ada dalam al-Quran adalah al-Quran mengiktiraf cinta tersebut. Hal ini kerana jatuh cinta kepada jantina yang berbeza adalah fitrah manusia. Ianya bukan diada-adakan. Jatuh cinta adalah perasaan dalam jiwa yang tidak boleh dihalang.
Lihatlah firman Allah SWT mengenai lelaki yang jatuh cinta kepada janda yang masih dalam idah kematian suami:
وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُم بِهِۦ مِنْ خِطْبَةِ ٱلنِّسَآءِ أَوْ أَكْنَنتُمْ فِىٓ أَنفُسِكُمْ ۚ عَلِمَ ٱللَّهُ أَنَّكُمْ سَتَذْكُرُونَهُنَّ
وَلَٰكِن لَّا تُوَاعِدُوهُنَّ سِرًّۭا إِلَّآ أَن تَقُولُوا۟ قَوْلًۭا مَّعْرُوفًۭا ۚ وَلَا تَعْزِمُوا۟ عُقْدَةَ ٱلنِّكَاحِ حَتَّىٰ يَبْلُغَ ٱلْكِتَٰبُ أَجَلَهُۥ ۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِىٓ أَنفُسِكُمْ فَٱحْذَرُوهُ ۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ حَلِيمٌۭ
Maksudnya: “Dan tidak ada dosa ke atas kamu meminang perempuan-perempuan itu secara kiasan, atau kamu menyembunyikan (hasrat meminang) dalam hati kamu. Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut mereka, tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka secara rahsia, melainkan sekadar mengucapkan perkataan yang baik. Dan janganlah kamu berniat untuk mengikat akad nikah sebelum habis tempoh idahnya. Dan ketahuilah bahawa Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka takutlah kepada-Nya; dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyabar.”
(Surah al-Baqarah ayat 235)
Nabi SAW pernah bersimpati dengan Mugith, bahkan bersimpati dan cuba memujuk Barirah iaitu isteri Mugith. Tambahan lagi, rayuan cintanya mendapat simpati daripada Nabi SAW, sebagaimana dalam riwayat al-Bukhari daripada ’Abdullah bin ’Abbas katanya:
كَانَ زَوْجُ بَرِيرَةَ عَبْدًا يُقَالُ لَهُ مُغِيثٌ، كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَيْهِ يَطُوفُ خَلْفَهَا يَبْكِي، وَدُمُوعُهُ تَسِيلُ عَلَى لِحْيَتِهِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى ٱللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلْعَبَّاسِ: «يَا عَبَّاسُ، أَلَا تَعْجَبُ مِنْ حُبِّ مُغِيثٍ بَرِيرَةَ، وَمِنْ بُغْضِ بَرِيرَةَ مُغِيثًا؟» فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى ٱللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَوْ رَاجَعْتِهِ» قَالَتْ: «يَا رَسُولَ ٱللَّهِ، تَأْمُرُنِي؟» قَالَ: «إِنَّمَا أَنَا أَشْفَعُ» قَالَتْ: «لَا حَاجَةَ لِي فِيهِ»
Maksudnya: “Suami Barirah adalah seorang hamba bernama Mughith. Aku seakan-akan melihat dia berjalan di belakang Barirah sambil menangis, air matanya mengalir di janggutnya. Maka Nabi SAW berkata kepada al-‘Abbas: Wahai al-‘Abbas, tidakkah kamu hairan akan cinta Mughith kepada Barirah dan benci Barirah kepada Mughith? Lalu Nabi SAW berkata kepada Barirah: Mahukah kamu kembali kepadanya? Barirah bertanya: Wahai Rasulullah, adakah ini satu perintah? Baginda menjawab: Tidak, aku hanya menjadi perantara. Maka Barirah berkata: Aku tidak berhajat kepadanya.”[2]
Nabi SAW tidak melarang Mugith membuat rayuan cinta, bahkan bersimpati dan cuba memujuk Barirah, walaupun Barirah enggan. Dalam hal ini, tiada larangan dan rayuan cintanya mendapat simpati daripada Nabi SAW. Siapakah pula kita untuk menghalang orang lain meluahkan rasa cinta yang benar kepada seseorang kerana ingin memperisterikannya?
Nabi SAW tidak pernah membantah orang bercinta, sebaliknya Baginda berusaha memastikan pasangan yang bercinta berakhir dengan perkahwinan. Seorang gadis yatim dipinang oleh dua orang lelaki, seorang miskin dan seorang lagi kaya. Si gadis memilih yang miskin sedangkan penjaganya memilih yang kaya. Apabila hal ini diberitahu kepada Nabi SAW, Baginda bersabda:
لَمْ يُرَ لِلْمُتَحَابَّيْنِ مِثْلُ النِّكَاحِ
Maksudnya: “Tidak dilihat (tidak ada) penawar untuk dua orang yang bercinta seperti pernikahan (nikah).”[3]
Kata Imam al-Munawi dalam mengulas hadis ini iaitu:
أراد أن أعظم الأدوية التي يعالج بها العشق: النكاح، فهو علاجه الذي لا يعدل عنه لغيره إذا وجد إليه سبيلاً
Maksudnya: “Yang dimaksudkan ialah antara ubat yang paling besar untuk merawat cinta (yang mendalam) adalah pernikahan. Maka itulah rawatannya yang tiada yang sebanding dengannya jika ada jalan ke arahnya.”[4]
Di samping itu, Nabi SAW juga menegur bapa yang memaksa anak perempuan menerima lelaki yang tidak disukai sebagai suami. Nabi SAW memulangkan pilihan kepada wanita tersebut sama ada ingin meneruskan atau menolak perkahwinan itu.
Seorang wanita datang kepada Nabi SAW bahawa bapanya telah mengahwinkannya dalam keadaan dia tidak setuju. Nabi SAW kemudian memberi pilihan kepada wanita itu sama ada ingin meneruskan atau membatalkan perkahwinan tersebut. Nabi SAW tidak memaksa wanita itu untuk menerima lelaki yang tidak dicintainya.
Menyimpan perasaan cinta antara lelaki dan perempuan tidaklah dilarang dalam agama. Perasaan cinta ini kadangkala timbul di luar kawalan kita kerana ia adalah fitrah antara lelaki dan perempuan. Perasaan ini bukan bersifat songsang.
Misalnya, melafazkan rasa cinta seperti ungkapan Mugith kepada Barirah dibenarkan oleh Nabi SAW. Begitu juga gadis yatim itu tidak pula dilarang. Puisi cinta yang sopan malah tidak ditegah. Jadi apa sebenarnya yang dilarang?
Perkara yang dilarang adalah perbuatan zina. Perkara yang kedua adalah perbuatan yang mendekati zina. Semua dosanya tidak seperti zina itu sendiri. Adapun bercinta yang masih mempunyai jarak dan batasan antara lelaki dan wanita adalah fitrah insan. Menghalang fitrah itu boleh memberikan kesan yang buruk dalam jiwa manusia. Ia juga boleh membawa kecenderungan seks sejenis (homoseksual) kerana fitrah asal disekat.
Jika perasaan itu terus berkembang dalam diri seseorang, ia menjadi penyakit yang memusnahkan fitrah asalnya. Agama tidaklah sempit, apatah lagi menghalang fitrah.
Jika dilihat daripada kesemua sudut dan aspek yang saya lampirkan di sini maka dalam isu ini saya menarik semula pandangan lama saya lebih memilih untuk berbeza dengan kebanyakan orang yang memandang negatif dan serong terhadap perbuatan ini.
Saya menyebutkan bahawa perbuatan couple adalah harus bersyarat selagimana pasangan tersebut mempunyai niat dan usaha untuk ke arah pernikahan dan pasangan tersebut tidak melanggar garis-garis hukum agama yang pada akhirnya menjerumuskan mereka ke dalam lembah kemaksiatan dan termasuk dalam golongan yang mendekati zina.
Itu selari dengan suruhan agama yang membenarkan umat Islam jika ada yang hendak berkahwin mereka digalakkan untuk memiliki perasaan cinta dan sayang antara satu sama lain. Sebagaimana hadis Nabi SAW iaitu:
إِذَا خَطَبَ أَحَدُكُمُ الْمَرْأَةَ، فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ يَنْظُرَ إِلَى مَا يَدْعُوهُ إِلَى نِكَاحِهَا، فَلْيَفْعَلْ
Maksudnya: “Apabila seseorang di antara kamu ingin meminang seorang wanita, maka jika ia dapat melihat apa yang mendorongnya untuk menikahinya, maka lakukanlah.”[4]
Kendatipun demikian, apabila dengan couple tersebut menganggu fokus kita terhadap pelajaran, menganggu kita dalam urusan pekerjaan ataupun kita bercouple dalam keadaan yang kita tidak bersedia lagi untuk memikul tanggungjawab maka nasihat saya tinggalkanlah perbuatan tersebut kerana bimbang ianya hanya akan merosakkan kita dan melencongkan dan membuang masa kita sahaja.
Buat yang bercouple, pastikan hubungan tersebut bertujuan untuk bernikah dan pastikan kita bercouple dalam keadaan kita bersedia dan memang untuk bernikah. Jangan buat perkara yang agama larang.
Senarai Rujukan:
1. Inginku Kembara Lagi oleh Dr. MAZA (hlm 99-107)
2. Riwayat al-Bukhari (no 5283)
3. Riwayat Ibn Majah (no 1846). Dinilai sahih oleh al-Albani dan al-Arnout
4. Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Dinilai hasan oleh al-Albani