Soalan: Kalau non-muslim cakap ngan kita macam dia bagi salam kat kita, Kita nak jawab apa? sebab kita tau yang mereka takkan sejahtera kat akhirat nanti. Tak pun dia bagi salam takziah tapi style kita cakap yang innalillah tu, macam mana kita nak jawab?
Jawapan: Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam atas segala nikmat yang Allah telah kurnia dan beri kepada kita semua sehingga pada hari ini.
Baik, terima kasih saudara atas soalan yang baik dan mungkin kebanyakan daripada kita mengalami situasi sebegini apabila berdepan dengan non-muslim yang memberi salam pada kita. Hal ini kerap kali terjadi pada komuniti yang kemungkinan besar banyak bergaul dengan pelbagai orang dan pelbagai latar belakang termasuk dalam soal agama. Mereka yang tinggal di asrama campur, sekolah yang campur dengan pelbagai agama atau kawasan perumahan.
Dalam isu menjawab salam non-muslim sebenarnya ada dua pandangan yang berbeza yang pada saya bagus untuk kita bincangkannya di sini sebagai pendedahan pada kita dan juga ruang untuk kita melihat dan menilai sendiri jawapan terhadap isu ini dengan lebih luas dan terbuka.
Pandangan ini cukup terkenal di kalangan kita. Tambah-tambah jika ada yang bersekolah di asrama campur suatu ketika dahulu. Kita diajarkan apabila non-muslim memberi salam pada kita walaupun memang lengkap kita diajar untuk menjawab "waalaikum" sahaja. Ini tidak salah bahkan ini pandangan ulama' muktabar dan juga pandangan ini mempunyai asasnya berdasarkan hadis Nabi yang terkenal dalam isu ini. Sebagaimana hadis daripada Aisyah R.Anha iaitu:
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ: دَخَلَ رَهْطٌ مِنَ الْيَهُودِ عَلَى النَّبِيِّ ﷺ فَقَالُوا: السَّامُ عَلَيْكَ، فَفَهِمْتُهَا، فَقُلْتُ: وَعَلَيْكُمُ السَّامُ وَاللَّعْنَةُ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: «مَهْلًا يَا عَائِشَةُ، إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الرِّفْقَ فِي الْأَمْرِ كُلِّهِ» قُلْتُ: أَوَلَمْ تَسْمَعْ مَا قَالُوا؟ قَالَ: «قَدْ قُلْتُ: وَعَلَيْكُمْ»
Maksudnya: Aisyah berkata: Sekumpulan Yahudi masuk bertemu Nabi SAW lalu mereka berkata: “As-Saam ‘alaik” (maksudnya: kematian atasmu). Maka aku memahaminya, lalu aku berkata: “Dan atas kamu kematian dan laknat!” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Tenanglah wahai Aisyah, sesungguhnya Allah menyukai kelembutan dalam semua perkara.” Aku berkata: “Tidakkah engkau dengar apa yang mereka katakan?” Baginda bersabda: “Aku sudah jawab: Wa ‘alaikum.”[1]
Berdasarkan hadis ini, ianya menunjukkan bahawa jika ada non-muslim yang memberi salam pada kita maka kita perlu menjawab 'waalaikum" sahaja yang membawa erti "ke atas kamu juga" kerana bimbang lafaz salam yang mereka ungkapkan itu diselaputi dengan niat yang tidak baik.
Pandangan ini mungkin jarang diketahui oleh kebanyakan kita tetapi pandangan ini wujud dan juga pada saya ianya lebih dekat dengan maslahat dakwah pada non-muslim di negara ini.
Jika kita lihat asbabun wurud[2] hadis yang digunakan pada pandangan pertama tersebut sebenarnya hadis itu lebih merujuk pada zaman Nabi SAW yang pada ketika itu Yahudi tersebut tahu bahasa arab dan mereka sengaja menyebutkan lafaz السَّامُ عَلَيْكَ (kematian atasmu) untuk memperolok-olokkan atau mempersendakan agama. Oleh itu, atas sikap santun Nabi, baginda membalas dengan hanya menyebutkan "waalaikum" (atas kamu juga) sahaja.
Jadi, tidak wajar jika kita mahu samakan sikap kita dalam membalas salam pada orang yang ingin memperolok-olokkan agama ini dan dengan orang yang memang mahu memberi salam mungkin atas sebab dia ingin merasai indahnya berbalas salam tersebut. Salam merupakan syiar agama bahkan perbuatan tersebut sangat dituntut dalam agama.
Pandangan ini berasaskan pada ayat al-Quran yang menyebutkan bahawa:
وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا
Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.[3]
Dalil ini jelas menyebutkan bahawa apabila kita diberikan dengan tahiyyah yang baik, maka kita perlu membalasnya dengan lebih baik atau tidakpun sama dengan apa yang diberikan. Dalam erti kata lain, kita boleh menjawab salam sama ada daripada Muslim atau Non-Muslim dengan lafaz yang lebih baik atau sama sahaja.
Mungkin dengan jawab salam mereka dengan baik, ditakdirkan Allah buka pintu hati mereka untuk menerima Islam. Namun, jika kita menyamakan mereka dengan orang Yahudi pada zaman Nabi yang memberi ucapan salam dengan lafaz berserta niat yang mahu memperolok-olokkan agama kita bimbang kita seolah-olah tidak meraikan mereka. Ini tentu akan memberikan sangkaan yang salah tentang agama kita pada mereka.
Cara memberi salam telah diajarkan pada kita melalui hadis Nabi SAW daripada Abu Hurairah R.A iaitu:
َنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ ﷺ فَقَالَ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ، فَقَالَ: «عَشْرٌ»
ثُمَّ جَاءَ آخَرُ فَقَالَ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ، فَقَالَ: «عِشْرُونَ»
ثُمَّ جَاءَ آخَرُ فَقَالَ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، فَقَالَ: «ثَلَاثُونَ»
Maksudnya: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah SAW lalu mengucapkan: “Assalāmu ‘alaikum” (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ).
Maka Rasulullah SAW menjawab dengan bersabda: “Sepuluh pahala baginya.”
Kemudian datang seorang lelaki yang lain lalu mengucapkan: “Assalāmu ‘alaikum wa rahmatullāh” (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ),
lalu Baginda bersabda: “Dua puluh pahala baginya.”
Seterusnya datang seorang lagi lelaki lalu mengucapkan: “Assalāmu ‘alaikum wa rahmatullāhi wa barakātuh” (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ),
maka Rasulullah SAW bersabda: “Tiga puluh pahala baginya.”[4]
Jika mahu menjawab salam gunakanlah lafaz waalaikumsalam, waailaikumsalam warahmatullah atau waalaikumsalam warahmatullah wabarakatuh sama ada pada Muslim ataupun pada Non-Muslim.
Adapun demikian, lafaz salam yang panjang sebagaimana yang disebutkan oleh sebahagian orang mengenainya maka apa yang saya boleh sebutkan adalah sebaiknya kita berpadalah dengan apa yang disebutkan oleh hadis Nabi, itu lebih baik untuk kita amalkan.
Jika Non-Muslim memberi salam dengan lafaz yang salah dan berniat untuk mengolok-olokkan agama kita maka balaslah dengan menjawab "walaaikum" berdasarkan hadis Nabi SAW manakala jika Non-Muslim memberi salam dengan lafaz yang baik lagi sempurna maka balaslah salam tersebut dengan lafaz yang lebih baik atau sama dengannya sebagaimana yang diajarkan dalam ayat al-Quran tentangnya. Namun, jika ada yang berpegang pada pandangan yang pertama maka itu tidak menjadi masalah dan tidak menjadi isu untuk berbalah.
Senarai Rujukan:
1. Riwayat al-Bukhari no. 6256 dan Muslim no. 2165
2. Sebab-sebab atau latar belakang sesuatu hadis itu diucapkan oleh Nabi Muhammad ﷺ.
3. Surah An-Nisa' ayat 86
4. Riwayat al-Bukhari (6256) dan Muslim (2165)