Soalan: DiManakah Allah Berada?
Jawapan: Alhamdulillah segala puji bagi Allah atas segala nikmat yang Allah kurniakan pada kita semua sehingga pada hari ini.
Jawapan kepada soalan saudara adalah sebagaimana apa yang difirmankan oleh Allah dalam al-Quran iaitu:
الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى
Maksudnya: “Allah Ar-Rahman (Yang Maha Pemurah) yang istiwa’ di atas ‘Arsy.” (Surah Taha ayat 5)
Begitu juga sebagaimana hadis Jariyah iaitu hadis yang diriwayatkan daripada Mu’awiyah bin al-Hakam al-Sulami RA, beliau berkata:
كَانَتْ لِي جَارِيَةٌ تَرْعَى غَنَمًا لِي قِبَلَ أُحُدٍ وَالْجَوَّانِيَّةِ، فَاطَّلَعْتُ ذَاتَ يَوْمٍ فَإِذَا الذِّئْبُ قَدْ ذَهَبَ بِشَاةٍ مِنْ غَنَمِهَا، وَأَنَا رَجُلٌ مِنْ بَنِي آدَمَ، أَسُوءُ كَمَا يَسُوءُونَ، فَرَفَعْتُ يَدِي فَصَكَكْتُهَا صَكَّةً، فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ فَعَظَّمَ ذَٰلِكَ عَلَيَّ، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَفَلَا أُعْتِقُهَا؟ قَالَ: «ائْتِنِي بِهَا»، فَأَتَيْتُهُ بِهَا، فَقَالَ لَهَا:
«أَيْنَ اللَّهُ؟»
قَالَتْ: «فِي السَّمَاءِ»
قَالَ: «مَنْ أَنَا؟»
قَالَتْ: «أَنْتَ رَسُولُ اللَّهِ»
قَالَ: «أَعْتِقْهَا، فَإِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ
Maksudnya: “Aku mempunyai seorang hamba perempuan yang menjaga kambingku di kawasan Uhud dan al-Jawwaniyyah. Suatu hari aku datang dan mendapati seekor serigala telah mengambil seekor kambing dari kambingnya. Dan aku adalah manusia biasa seperti manusia lain, aku marah sebagaimana mereka marah maka aku menamparnya satu tamparan. Kemudian aku datang kepada Rasulullah ﷺ dan menceritakan hal itu. Baginda ﷺ sangat membesarkan (menganggap berat) perbuatan itu ke atasku. Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, bolehkah aku memerdekakannya?’ Maka Baginda bersabda:
‘Bawalah dia kepadaku.’
Maka aku membawanya kepada Baginda. Lalu Baginda bertanya kepadanya:
‘Di manakah Allah?’
Dia menjawab: ‘Di langit.’
Baginda bertanya lagi: ‘Siapakah aku?’
Dia menjawab: ‘Engkau adalah Rasulullah.’
Maka Baginda bersabda: ‘Merdekakan dia, sesungguhnya dia seorang mukminah.’”
Saudara boleh merujuk dalil-dalil tentang isu di banyak lagi ayat al-Quran iaitu pada Surah al-A‘raf (7:54), Surah Yunus (10:3), Surah al-Ra‘d (13:2), Surah Taha (20:5), Surah al-Furqan (25:59), Surah al-Sajdah (32:4), Surah Yasin (36:83), Surah al-Zukhruf (43:84), Surah al-Hadid (57:4), Surah al-Mulk (67:16) dan Surah al-Haqqah (69:17).
Secara ringkasnya, saya secara peribadi bersama dengan pandangan ulama yang tafwid sebagaimana apa yang disebutkan dalam dalil tanpa menjisimkan apatah lagi menyamakan Allah dengan makhluk sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran iaitu:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Maksudnya: Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
(Surah al-Shura ayat 11)
Kendatipun demikian, saya akui terdapat tafsiran dan perbahasan yang panjang lebar oleh golongan yang berbeza dalam isu ini tetapi untuk lebih mudah dan tidak kompleks kita imani sahaja apa yang disebutkan jelas dalam dalil tanpa kita susah payah berfikir dan berbincang perkara yang diluar batasan akal dan ilmu kita.
Wallahualam.