Pada hari ini kita dapat melihat ramai anak muda semakin jauh dengan agama, kita melihat semangat anak muda kita dengan agama sudah semakin pudar atau sudah semakin menyusut semangat mereka. Ramai di kalangan mereka yang sudah kurang mengambil berat mengenai Islam. Ramai yang acuh tidak acuh dalam mengamalkan syariat Islam.
Anak muda merupakan pelapis kepada generasi yang sedia ada, kalau sekarang agama dilihat lekeh oleh sebahagian orang, maka anak muda inilah yang bakal memperlihatkan betapa gahnya Islam, betapa indahnya Islam, betapa mempersona Islam ini pada suatu masa yang akan datang.
Namun, jikalau dilihat pada hari ini, kita akan dapat melihat betapa lesunya keadaan anak muda apabila disebutkan perihal agama kepada mereka, betapa lemaunya mereka apabila mendengar perihal-perihal agama. Mereka bersikap acuh tidak acuh apabila menyebutkan perihal agama. Seolah-olah pada pandangan mereka, Islam dilihat sebagai agama yang membosankan, “cliche” dan mungkin juga tidak relevan dengan zaman mereka.
Jikalau dibanding keghairahan terhadap agama anak muda sekarang dengan anak muda pada zaman Nabi, tentulah terlihat jauhnya beza di antara hari ini dengan zaman mereka, tidak mampu dibanding Mu’az bin Amru ketika berusia 14 tahun dan Mu’awwiz bin Afra (sebutan huruf “ra” atau bunyinya ro) ketika berusia 13 tahun. Pada usia tersebut mereka adik-beradik berganding bahu menjatuhkan Abu Jahal dari kudanya dan mampu melemahkan Abu Jahal, sehingga akhirnya dibunuh oleh Abdullah bin Mas’ud keika perang Badar.
Pada hari ini kita lihat bahawa anak muda hari ini seolah-olah tidak kisah atau tidak mengambil berat mengenai agama. Tidak dinafikan ada dikalangan anak muda pada hari ini yang bersemangat dalam beragama. Namun tidak cukup dengan semangat, perlunya juga pemikiran yang kritis dalam beragama. Agar tidak menelan semua yang disampaikan oleh mereka yang berperwatakan agama.
Apakah sebenarnya yang menyebabkan anak muda pada hari ini lemau atau lesu apabila menyebutkan perihal agama kepada mereka? Bagaimana Islam yang memang mempelopori kehidupan yang bertamadun, berkemajuan, dan menjadikan penganutnya beraklak mulia dipandang enteng oleh sebilangan anak muda kita?
Mana tidaknya jikalau dilihat pemikiran rata-rata anak muda pada hari ini, apabila disebutkan mengenai agama, apa yang terbayang di fikiran mereka ialah “pakai jubah, pakai serban” itulah seolah-olah tuntutan agama bagi mereka, bagi mereka pakai jubah dan serban itu lah apa yang agama mahukan, itulah “sunnah” yang seolah-olah Nabi menuntut untuk kita mengikutinya.
Sedangkan pakai jubah atau serban itu bukanlah sunnah yang dituntut oleh Rasulullah, Nabi memakainya kerana itu merupakan kebiasaan orang disitu atau merupakan budaya arab, zaman sebelum Nabi lahir, memang sudah orang arab mengenakan jubah dan serban, itu adalah budaya bukannya syariat.
Pemakaian bukanlah penentu kepada ketakwaan kita kepada Allah SWT, boleh lihat di negara arab, mereka mengenakan jubah dan serban, “siap kaler putih lagi”. Tapi tidaklah mereka semua itu benar-benar faham mengenai agama dan juga tidaklah mereka semua mengkuti segala perintah Allah dan Rasulullah.
Hakikatnya itu bukanlah intipati suruhan agama, agama menyuruh kita mengenakan pakaian yang bersesuaian dengan keadaan, seperti berperang, Nabi mengenakan baju besi, tidaklah kita mengenakan baju besi lalu pergi keliling bandar mengatakan “ini sunnah, ini sunnah”.
Begitu dengan perihal kita, apabila sekolah, kenakan pakaian yang disusun oleh sekolah, apabila sejuk, kenakan pakaian yang dapat mengurangkan sejuk. Apabila bekerja, kenakan pakaian kerja, apabila solat di masjid, kenakan pakaian yang sesuai digunakan.
Agama tidak bersifat mengikat kita untuk mengikut pemakaian budaya arab, namun agama memberikan keluasan mengenai pemakaian. Dan yang menjadi intipati agama ialah dalam berpakaian, agama menyuruh kita untuk memakai pakaian yang menutup aurat, sopan dan juga membawa kepada taqwa, sepertimana firmannya:
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ
Maksudnya: Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.
(Surah Al-A’raf ayat 26)
Salah faham dalam hal ini dan hal yang lain mengenai agama ini, perlu diperbetulkan, perlu diperjelaskan secara tepat dan padat, agar anak muda kita tidak merasakan “clichenya” agama kerana mereka melihat pemakaian jubah seolah-olah dituntut pula oleh agama. Sedangkan Islam memberikan keluasan untuk mengenakan pakaian, selagimana pakaian itu tidak menyanggahi hukum syarak, sekalipun dalam berfesyen.
Mengapa saya berkata sedemikian? Hal ini kerana apabila dilihat rata-rata penyampaian agama oleh sebilangan asatizah-asatizah khususnya di Malaysia, kita dapat melihat betapa banyak isi-isi ceramah mereka yang asyik bercerita mengenai karomah wali-wali, saya secara peribadi tidak menolak perkara-perkara yang mencarik adat ini, namun apabila perkara sebegini terlalu digembar-gemburkan pada masyarakat ianya tidak memandaikan masyarakat pun, sebaliknya hanya menjadikan masyarakat taasub pada wali ataupun pada mana-mana tokoh.
Sedangkan bukanlah itu yang agama pelopor pada kita, bukanlah fokus agama itu bercerita mengenai “magical” dalam agama, sebaliknya fokus agama itu ialah menjadikan umat manusia beriman kepadaNya dengan cara kita berfikir mengenai kebesarannya. Berfikir, mengkaji, mendalami, memahami setiap butiran ciptaan tuhan, itulah yang menjadikan umat manusia beriman kepada Allah. Banyak dalil Allah menyuruh kita mengkaji dan berfikir mengenai ciptaannya, antaranya;
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّنَ الْبَعْثِ فَإِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ مِن مُّضْغَةٍ مُّخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ لِّنُبَيِّنَ لَكُمْ ۚ وَنُقِرُّ فِي الْأَرْحَامِ مَا نَشَاءُ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ثُمَّ نُخْرِجُكُمْ طِفْلًا ثُمَّ لِتَبْلُغُوا أَشُدَّكُمْ ۖ وَمِنكُم مَّن يُتَوَفَّىٰ وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلَىٰ أَرْذَلِ الْعُمُرِ لِكَيْلَا يَعْلَمَ مِن بَعْدِ عِلْمٍ شَيْئًا ۚ وَتَرَى الْأَرْضَ هَامِدَةً فَإِذَا أَنزَلْنَا عَلَيْهَا الْمَاءَ اهْتَزَّتْ وَرَبَتْ وَأَنبَتَتْ مِن كُلِّ زَوْجٍ بَهِيجٍ
Maksudnya: “Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) mengenai kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang
Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 20: