Apabila hampir tiba bulan Ramadan maka berbondong-bondong masjid mencari individu yang dirasakan layak untuk memimpin solat terawih berjemaah sepanjang bulan Ramadan nanti. Bulan Ramadan adalah bulan yang mulia, bulan yang berkat dan bulan yang Allah datangkan rahmatNya pada kita semua.
Jangan sia-siakan bulan tersebut dengan perbuatan yang dianggap sia-sia dan hanya mendatangkan dosa sehingga menyebabkan kita akan menjadi orang yang rugi pada bulan tersebut.
Pada imam-imam terawih yang membaca tulisan ini saya ingin menasihatkan pada diri saya dan pada semua agar apabila kita menjadi imam terawih nanti jangan pernah jadikan wang sebagai matlamat utama kenapa kita menjadi imam. Tidak salah jika kita menerima wang yang diberi oleh masjid tetapi jangan sesekali pernah menganggap kedudukan imam sebagai alat untuk kita memperoleh duit dan alat untuk memenuhi kepentingan peribadi sendiri.
Jangan sesekali memilih untuk menjadi imam di masjid-masjid yang mencari imam atas anggapan masjid ini sikit bayarannya tetapi masjid di sana banyak bayarannya. Jika kita anggap jawatan imam itu adalah jawatan untuk meraih keuntungan pada peribadi maka perbuatan itu salah dan Allah umpamakan perilaku tersebut sebagai anjing.
Sebagaimana firman Allah SWT iaitu:
وَٱتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ٱلَّذِىٓ ءَاتَيْنَـٰهُ ءَايَـٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنْهَا فَأَتْبَعَهُ ٱلشَّيْطَـٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلْغَاوِينَ
Maksudnya: Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat.
وَلَوْ شِئْنَا لَرَفَعْنَـٰهُ بِهَا وَلَـٰكِنَّهُۥٓ أَخْلَدَ إِلَى ٱلْأَرْضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ ۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلْكَلْبِ إِن تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَث ۚ ذَّٰلِكَ مَثَلُ ٱلْقَوْمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا ۚ فَٱقْصُصِ ٱلْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.
(Surah al-A’raf ayat 175-176)
Dalam ayat ini Allah menyamakan orang agama yang menjual nilai ajaran Allah demi kepentingan dunia sepertimana anjing yang sentiasa menjelirkan lidah.
Padahal jika dia berpegang atas prinsip ilmu dia tetap akan mendapat kemuliaan. Namun, dia gopoh dengan silauan tawaran dunia. Samalah dia seperti anjing yang sentiasa menjelirkan lidah.
Anjing menjelirkan lidah disebabkan kepanasan badannya, atau oksigen yang tidak cukup bagi tubuhnya. Demikian orang agama yang sentiasa kepanasan kerana gilakan dunia, atau sentiasa merasa tidak memadai dengan kedudukan mulianya sebagai orang agama, lalu dia menjelirkan lidahnya yang hodoh mencari habuan yang lain.
Kita berkhidmat untuk agama pada dasarnya bukan kerana kita mampu mendapatkan itu dan ini tetapi sebaliknya kita berkhidmat untuk agama tujuan kita adalah kerana Allah dan ingin mendapatkan reda daripada Allah. Jika tujuan kita tersasar kerana terpukau dengan silauan dunia maka bimbang kita akan dihina oleh Allah.
Sebagai penutup, sebagai orang agama kita tidak sepatutnya menjadikan agama sebagai alat untuk kita mengaut habuan dunia dan menjadikan agama sebagai alat untuk memenuhi kepentingan peribadi sendiri. Sebaliknya kita harus memastikan diri kita agar tidak terikat dengan sebarang kepentingan peribadi yang pada akhirnya jika kita terikat dengan perkara yang melibatkan kepentingan peribadi ianya akan membuatkan kita bacul untuk buat atau bercakap perkara yang benar.