Soalan: Allah itu Maha Esa, tapi kenapa Allah guna "kami" dalam Quran?
Jawapan: Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan pelbagai nikmat yang tidak terhingga buat kita semua sehingga pada hari ini.
Terima kasih kepada saudara atas soalan yang menarik dan soalan yang mungkin akan mewakili orang lain yang mungkin tertanya-tanya akan perihal soalan yang sama.
Dalam al-Quran, memang benar Allah kadang-kadang menggunakan kata ganti nama diri “Kami” (nahnu / إِنَّا / نَحْنُ), walaupun kita tahu bahawa Allah itu Maha Esa (Tunggal), sebagaimana dalam Surah al-Ikhlas:
قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “(Dialah) Allah Yang Maha Esa.”
(Surah al-Ikhlas ayat 1)
Jadi kenapa Allah menggunakan “Kami” dalam beberapa ayat al-Quran?
Jawapannya, isu ini hanyalah isu yang penggunaan bahasa sahaja. Di dalam kitab Mu’jam al-Wasith, penulisnya menyebutkan:
نحن: ضمير يعبر به الاثنان، أو الجمع المُخْبِرون عن أنفسهم، وقد يعبِر به الواحد عند إرادة التعظيم
Maksudnya: Kami: Merupakan kata ganti nama diri bagi menunjukkan kepada dua orang, atau jamak (lebih dari dua orang) yang mengkhabarkan tentang diri mereka. Dan kadangkala ia digunakan oleh seseorang ketika ingin mengagungkan (dirinya).[1]
Maka tidak terdapat sebarang isu atau salah faham apabila Allah SWT mensifatkan diri-Nya dengan perkataan ‘Kami’. Ini memandangkan Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Besar. Oleh yang demikian, kita menyatakan bahawa:
كل ضمائر الجمع المنسوبة إلى الله عز وجل المراد بها التعظيم
Maksudnya: Kesemua kata ganti nama yang bersifat jamak yang dinisbahkan kepada Allah S.W.T maka yang dimaksudkan dengannya adalah keagungan @ kebesaran.
Kami sertakan juga pandangan Syeikh al-Sya’rawi yang menyebut secara mafhumnya: ‘’Apabila Allah S.W.T ingin menceritakan tentang hakikat perbuatan-Nya, maka digunakan perkataan ‘’Kami’’, manakala apabila Allah ingin menceritakan tentang zat-Nya, Dia menggunakan perkataan ‘’Aku’’.
Bahkan perkataan ‘Kami’ merujuk kepada perbuatan yang mempunyai instrumen yang banyak. Seperti contohnya dalam Surah Al-Hijr ayat 9, apabila Allah S.W.T menyebutkan ‘’Sesungguhnya Kami yang menurunkan al-Zikr (al-Quran)..’’ maka ayat ini melibatkan banyak ciri dari sudut Allah menurunkan al-Quran dengan ilmu-Nya, hikmah kebijaksanaan-Nya, dengan kudrat-Nya, dan seumpamanya. Maka kerana itu digunakan perkataan Kami berbanding Aku di situ.[2]
Selain itu, apabila Allah ingin menekankan Zat-Nya sendiri, hubungan langsung dengan hamba, atau aspek ketuhanan-Nya, Dia akan menggunakan “Aku” (ana) atau “Dia” (Huwa).
Contoh:
إِنَّنِي أَنَا ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ فَٱعْبُدْنِي
Maksudnya: “Sesungguhnya Aku ini adalah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku, maka sembahlah Aku.”
(Surah Taha ayat 14)
Jadi, perbezaan penggunaan “Kami” dan “Aku” bergantung kepada konteks:
Kesimpulan
Penggunaan “Kami” dalam al-Quran tidak bercanggah dengan konsep Tauhid atau menggugat keimanan kita pada keesaan Allah, malah ianya selari dengan balaghah (gaya bahasa tinggi) dalam Bahasa Arab, di mana “Kami” adalah bentuk keagungan, bukan jama’ (plural) secara literal. Dalam akidah Islam, Allah tetap satu dan tidak lenoih daripada satu.
Senarai Rujukan:
1. Al-Mu’jam al-Wasith (Hlm. 945).