Soalan: Assalamualaikum tuan. Saya ingin bertanya apakah pandangan tuan ttg program baca quran macam di musabaqah yang pd sy macam melampau. Apa komen tuan?
Jawapan: Waalaikumsalam warahmatullah wabarakatuh. Alhamdulillah segala puji bagi Allah atas nikmat yang Allah telah kurniakan pada kita sehingga hari ini.
Terima kasih kepada saudara atas soalan yang saudara ajukan ini. Secara asasnya, jika kita mempunyai kemampuan dan kelebihan dalam menghiasi bacaan al-Quran dengan suara yang terbaik itu terdapat dalam hadis Nabi iaitu:
زَيِّنُوا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ
Maksudnya: “Hiasilah al-Quran dengan suara-suara kamu.” [Riwayat Abu Daud (1468)]
Imam al-Khattabi makna hadith di atas adalah hiasilah suara kamu ketika membaca al-Quran dan ini juga yang ditafsirkan ramai daripada kalangan ahli hadith. [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 239/4]
Selain itu, menurut Imam al-Nawawi makna hadith di atas adalah hendaklah seseorang itu membaca al-Quran dengan suara yang baik agar orang yang mendengar merasa seronok atau asyik. [Lihat: Fatawa Imam al-Nawawi, 293]
Di dalam hadith yang lain pula, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ
Maksudnya: “Bukan daripada kalangan kami (umat Nabi Muhammad SAW), sesiapa yang tidak memperlagukan bacaan al-Qurannya.” [Riwayat Abu Daud (1469)]
Tambahan pula, al-Barra’ seorang sahabat Nabi SAW pernah menceritakan akan bacaan Nabi SAW di dalam sebuah hadith:
Daripada al-Barra RA, bahawa aku telah mendengar Nabi SAW:
يَقْرَأُ وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ فِي العِشَاءِ، وَمَا سَمِعْتُ أَحَدًا أَحْسَنَ صَوْتًا مِنْهُ أَوْ قِرَاءَةً
Maksudnya: “Membaca surah al-Thin di dalam solat Isyak dan aku tidak pernah mendengar seorang pun yang suaranya atau bacaannya lebih baik daripada beliau (Nabi SAW).” [Riwayat al-Bukhari (769)]
Imam al-Nawawi juga ada menyebut di dalam kitabnya pada bab sunat memperelokkan suara ketika membaca al-Quran:
“Telah berlaku ijma’ daripada kalangan salaf dan khalaf daripada sahabat, tabi’in dan selepas daripada mereka dalam kalangan ulama’-ulama’ terkini yang menyatakan bahawa sunat memperelokkan suara ketika membaca al-Quran.” [Lihat: al-Tibyan, 111] [1]
Secara ringkasnya, jika kita membaca al-Quran dengan suara yang bagus namun tidak merosakkan struktur bacaan yang ditetapkan atau maknanya tidak terjejas oleh lagu yang kita gunakan maka itu adalah sunnah dan dituntut agar orang mendengarnya lebih khusyuk dan menimbulkan keinsafan buat pendengar dan yang membaca al-Quran tersebut.
Namun, dalam isu kemelampauan yang dilakukan oleh qari tersebut seperti berlebihan dalam mengalunkan ayat-ayat al-Quran dan juga gaya memek muka yang pada kebanyakan orang agak melampau sehingga hilang haibah al-Quran itu dan sehingga tersasar matlamat dalam pembacaan al-Quran dengan lunak maka itu adalah perbuatan yang sepatutnya ditinggalkan oleh kita semua.
Senarai Rujukan: