Mufti Perlis: Kulit Babi Bukan Najis dan Boleh Dimanfaatkan
Baru-baru ini negara telah digemparkan dengan kenyataan daripada pihak media yang memaparkan kenyataan Mufti Perlis tentang penggunaan kulit babi yang seolah-olah kenyataan tersebut ingin menganggap bahawa Mufti Perlis cuba untuk menggalakkan penggunaan kulit babi digunakan untuk kegunaan harian masyarakat di Malaysia. Ramai masyarakat yang mungkin baru pertama kali mengetahui perbezaan ini terus mengatakan bahawa Mufti Perlis cuba untuk mengelirukan masyarakat bahkan ada sebahagian yang semborono menuduh Mufti Perlis cuba untuk menghalalkan masyarakat Muslim untuk memakan babi. Sedangkan perbuatan memakan babi memang jelas diharamkan dalam al-Quran iaitu:
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi.
Perbezaan tentang kenajisan kulit babi itu sendiri memang ada dibahaskan di dalam kalangan ulama Islam yang lain. Ini bukan perbincangan yang baru berlaku dikalangan ulama Islam. Pendapat yang mengatakan kulit babi apabila disamak bukanlah najis bukanlah pendapat daripada ulama wahabi sahaja jika ianya dirujuk kepada Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab at-Tamimi atau kepada sesiapa yang mengikuti gerakan beliau. Tetapi pendapat babi bukan najis adalah pandangan daripada Daud al-Zahiri, Ibn Hazm, riwayat daripada Abu Yusuf daripada kalangan ulama Hanafiyyah, sebahagian ulama Malikiyyah seperti Sahnun, dan Ibn ‘Abd al-Hakam, dan al-Syaukani, Dr. Solah al-Sawi, Dr Yusuf al-Qaradawi dan lain-lain.
Jika kita melihat pendapat-pendapat mereka dalam isu ini kita akan dapati bahawa dalam kalangan ulama terkemudian menyatakan bahawa kesemua kulit menjadi suci dengan proses samak, termasuk kulit anjing dan babi. Sepertimana jika kita lihat apa yang dinyatakan oleh Ibn Hazm dalam al-Muhalla bahawa kulit bangkai sekalipun kulit babi, anjing, binatang buas atau lain-lain boleh menjadi suci melalui proses penyamakan.
Dalam erti kata lain, apa sahaja kulit yang disamak menjadi suci. Apabila kulit bangkai itu disamak, maka halal (boleh) untuk dijual beli dan didirikan solat di atasnya. Sebagai contoh, kulit haiwan yang disembelih yang dagingnya halal untuk dimakan, melainkan kulit bangkai yang disebutkan ini tidak halal untuk dimakan dalam apa keadaan sekalipun, lebih-lebih lagi kulit manusia kerana kulit manusia tidak boleh disamak mahupun disiat, sebaliknya ia hendaklah ditanam meskipun dia seorang kafir.
Seterusnya, al-Kasani dalam Badai‘ al-Sanai‘ (1/85-86) menyebutkan, diriwayatkan daripada Abu Yusuf bahawasanya semua kulit menjadi suci dengan proses penyamakan berdasarkan keumuman hadis. Manakala al-Khirasyi turut menyebutkan bahawa terdapat lima pendapat yang menyelisihi pendapat yang masyhur (dalam mazhab Maliki). Di antaranya, pendapat yang menyatakan proses samak menyucikan semua kulit sekalipun daripada kulit babi. Ini adalah pendapat Suhnun, Ibn ‘Abd al-Hakam dan Ibn al-Faras.
Tambahan lagi, al-Syaukani dalam kitabnya jelas memilih pendapat ini. Beliau menyebutkan, para ulama telah berselisih mengenainya kepada tujuh pendapat. Pendapat yang keenam menyatakan, proses penyamakan menyucikan semua kulit, kulit anjing dan kulit babi pada zahir dan batin. Menurut Imam al-Nawawi, ini adalah mazhab Daud dan ahli zahir, serta dinukilkan daripada Abu Yusuf. Ini adalah pendapat yang rajih (kuat). Hal ini kerana hadis-hadis yang menyebutkan mengenai perkara ini tidak membezakan antara anjing dan babi dengan haiwan selain keduanya.
Selain itu, pendapat yang dipilih oleh Dr. Solah al-Sawi adalah bahawa semua kulit bangkai boleh disucikan dengan proses samak. Beliau berhujah berdasarkan kepada hadis dalam Sahih Muslim, daripada riwayat Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دُبِغَ الإِهَابُ فَقَدْ طَهُرَ
Maksudnya: “Jika disamak kulit maka ia menjadi suci.”
Begitu juga dengan riwayat ashab al-Sunan bahawa:
أَيُّمَا إِهَابٍ دُبِغَ فَقَدْ طَهُرْ
Maksudnya: “Apa sahaja kulit yang telah disamak, maka sesungguhnya ia telah menjadi suci.”
Perbezaan pendapat ini juga muncul akibat terdapat dalil al-Quran yang Allah mengharamkan daging babi sebagaimana dalil al-Quran:
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi.
Jika dibaca ayat ini secara berkali-kali kita akan dapati bahawa dalam al-Quran Allah hanya mengharamkan memakan daging babi sahaja bukan perkara lain. Ini termasuk sama ada babi ini dikategorikan sebagai najis mughallazah ataupun tidak, kulit babi boleh dimanfaatkan ataupun tidak, gelatin babi boleh digunakan ataupun tidak, jantung babi boleh digantikan dengan jantung kita ataupun tidak dan lain-lain lagi yang tidak melibatkan perbuatan memakan daging babi sebagaimana disebutkan dalam al-Quran. Dalam erti kata lain, khilaf ini juga muncul adalah disebabkan keumuman ayat ini tanpa memperincikan pengharamannya.
Secara mudahnya, jumhur ulama mengharamkan kita untuk menggunakan kulit babi walaupun sudah disamak dan kulit babi itupun tidaklah menjadi suci apabila sudah disamak. Namun, disana jangan kita melupakan bahkan menafikan berlakunya khilaf dalam soal ini di kalangan ulama itu sendiri seperti yang saya nyatakan di atas. Walaupun mungkin agak bertentangan dengan seperti yang kita faham dan pegang secara majoritinya tetapi tidak salah jika kita mengiktiraf bahawa pandangan yang terpencil ini wujud dan mungkin ada rahmatnya.
Perkara ini termasuk dalam masalah ijtihad dalam kalangan para ulama Islam. Perbincangan dan perbahasan ulama berkaitan kulit babi adalah jauh lebih luas berbanding perbahasan mereka berkaitan dengan perbuatan memakan daging babi yang telah disepakati pengharamannya tanpa wujudnya sebarang khilaf. Sesiapa dalam kalangan mereka yang berpendapat, kulit babi menjadi suci dengan proses samak, maka mereka akan mengharuskan juga penggunaannya dalam kasut, kot dan seumpamanya. Namun, sesiapa yang berpendapat tidak menjadi suci dengan proses samak mereka akan melarang penggunaannya dalam perkara-perkara tersebut.
Jika kita menelaah kesemua video Dr MAZA yang melibatkan isu ini maka kita akan dapati bahawa Dr MAZA bukanlah menggalakkan orang ramai untuk mengenakan pakaian, kasut dan perkara lain daripada kulit babi secara berkala bahkan jauh sekali untuk dikatakan beliau mesra babi dan menghalalkan babi secara mutlak. Tetapi Dr MAZA hanya menyatakan kewujudan pandangan tersebut dan beliau tidaklah menjadikan pakaian daripada kulit babi sebagai keutamaan untuk digunakan tetapi beliau menyuruh kita mengutamakan pakaian daripada kulit yang lain agar dapat mengelakkan daripada menimbulkan sebarang masalah yang akan datang pada suatu hari nanti.
Berlakulah adil walaupun mungkin terhadap mereka yang berbeza. Sebagaimana Allah sebutkan dalam al-Quran iaitu:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ
اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”