Saya percaya ramai yang masih tidak mengetahui bahawa khilaf atau perbezaan pendapat itu wujud mengenai paha itu aurat ataupun tidak. Sehingga satu tahap segelintir daripada masyarakat kita bertindak melebihi daripada yang sepatutnya terhadap orang yang tidak menutup paha. Ada yang mengatakan mereka itu fasik dan haram mewalikan pernikahan kerana melakukan dosa besar dan ada juga warden asrama yang memukul murid kerana tidak menutup paha atas alasan paha itu aurat seolah-olah memukul itu perkara yang halal atas tiket mendidik. Sedangkan kaedah Islam dalam mendidik bukanlah berlandaskan hawa nafsu tapi ilmu dan juga wahyu.
Saya menulis penulisan ini adalah bertujuan untuk menyedarkan kita mengenai kewujudan perbezaan ini dan dalam masa yang sama saya ingin kita mempelajari kenapa wujudnya pandangan ini. Tujuan saya menulis ini bukanlah untuk mentarjihkan mana-mana pandangan tetapi sebaliknya tujuan saya hanyalah mahu jadikan tulisan ini sebagai bahan bacaan tambahan untuk kita semua nilai dan bersikap lebih terbuka.
Sebelum kita memasuki perbahasan pendapat ini dengan lebih mendalam saya ingin kita semua faham bahawa majoriti atau jumhur ulama termasuk mazhab yang empat mengatakan bahawa paha adalah aurat kendatipun demikian minoriti ulama mengatakan bahawa paha bukan aurat. Ya, anda tidak salah membaca iaitu minoriti ulama mengatakan paha itu bukan aurat.
Saya mulakan dulu siapa yang mengatakan paha itu bukan aurat. Kata Imam al-Aini rahimahullah iaitu:
أما القوم الذين ذهبوا إلى أن الفخذ ليس بعورة فهم : محمد بن عبد الرحمن بن أبي ذئب ، وإسماعيل بن علية ، ومحمد بن جرير الطبري ، وداود الظاهري ، وأحمد في رواية ، ويروى ذلك أيضا عن الإصطخري من
، أصحاب الشافعي ، حكاه الرافعي عنه
Maksudnya: “Adapun para ulama yang berpendapat bahawa paha bukan aurat ialah: Muhammad bin Abdul Rahman bin Abi Dzib, Ismail bin 'Ulayyah, Muhammad bin Jarir at-Thabari, Daud az-Zahiri, Imam Ahmad dalam salah satu riwayat. Diriwayatkan juga hal ini daripada Abu Sa'id al-Istakhri yang merupakan daripada ulama mazhab Syafie , ia diriwayatkan oleh Imam al-Rafie daripada beliau”.
Dalil pertama yang dijadikan sebagai hujah untuk mengatakan paha bukan aurat adalah hadis Anas bin Malik iaitu:
عَنْ أَنْسِ بْنِ مَالِكِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَزَا خَيْبَرَ فَصَلَّيْنَا عِنْدَهَا صَلَاةَ الْغَدَاةِ بِغَلَسِ فَرَكِبَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلِّي اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَكِبَ أَبُو طَلْحَةً وَأَنَا رَدِيفُ أَبِي طَلْحَةً فَأَجْرَى نَبِيُّ اللَّهِ صِلِّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي زُقَاقٍ خَيْبَرَ وَإِنَّ رُكْبَتِي لَتَمَسِنُ فَخِذَ نَبِيَّ اللَّهِ صَلِّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمِّ حَسَرَ الْإِزَارَ عَنْ فَخِذِهِ حَتَّى إِنِّي أَنْظُرُ إِلَى بَيَاضٍ فَخِذٍ نَبِيِّ اللَّهِ صَلِّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW berperang di Khaibar. Maka kami melaksanakan solat subuh di sana di hari yang masih sangat gelap, lalu Nabi SAW dan Abu Thalhah memandu haiwan tunggangannya, sementara aku membonceng Abu Thalhah. Nabi SAW lalu melalui jalan sempit di Khaibar dan ketika itu lututku menyentuh paha Nabi SAW. Lalu baginda menyelak sarung daripada pahanya hingga aku dapat melihat paha Nabi SAW yang putih”.
a) Hujah Golongan Ulama Yang Sebut Paha Bukan Aurat
Golongan ulama yang mengatakan bahawa paha bukan aurat adalah disebabkan hadis ini menunjukkan bahawa Nabi SAW menyelak kain sehingga nampak paha, jika paha aurat tak mungkin Nabi sengaja ingin melakukan perkara sedemikian.
Sebagaimana kata Ibn Hazm al-Andalusi dalam kitab Muhalla bil Athar bahawa: “Maka, benarlah bahawa paha itu bukan aurat. Jika ia aurat, nescaya Allah akan melindunginya daripada terselak dari Rasulullah SAW yang suci dan maksum dari dilihat oleh manusia ketika dalam proses kenabian dan risalah. Pastinya Anas bin Malik dan selainnya tidak dapat melihat paha baginda”.
b) Hujah Balas Ulama Yang Sebut Paha Aurat
Namun, golongan ulama yang mengatakan paha itu aurat adalah mereka beralasan bahawa Nabi bukan sengaja menyelak kain itu tetapi kain itu terselak dengan sendirinya akibat sedang memandu. Sebagai contoh, Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ ketika menafsirkan hadis ini menyebut: “Boleh jadi terselaknya kain baginda adalah dengan sendirinya bukan kerana Nabi SAW sengaja menyelaknya. Bahkan ia terselak kerana kesan pemanduan. Buktinya, sabit di dalam riwayat kitab Sahih (Muslim) perkataan tersingkapnya kain (فانحسر الْإزَارُ).”
c) Hujah Balas Ulama Sebut Paha Bukan Aurat Terhadap Hujah Balas Ulama Sebut Paha Aurat
Perbahasan ini tidak berhenti sampai situ tetapi terdapat juga jawapan balas daripada mereka yang mengatakan paha itu bukan aurat seperti Ibn Hajar di dalam kitabnya al-Diraayah menyebutkan: “Tidak ada bezanya dalam pandanganku antara dua riwayat tersebut dari sisi bahawasanya baginda SAW sendiri tidak membezakannya. Seadainya hal itu haram, maka sama saja keadaannya antara baginda menyelaknya dengan sengaja atau terselak tanpa beliau sengaja.”
Rumusan Perbincangan Hadis Pertama
Jika kita rumuskan apa yang dibincangkan pada hadis yang pertama ini kita akan dapati bahawa Imam Ibn Hajar menyebutkan tidak ada beza sama ada menyelak kain dengan sengaja atau terselak kain. Itu tidak mengubah apa-apa kerana mustahil Allah akan membiarkan perkara itu berlaku pada Nabi SAW sendiri yang suci dan maksum tambahan pula ketika itu adalah waktu proses kenabian dan riasalah sepertimana disebutkan oleh Imam Ibn Hazmin. Namun, Imam al-Nawawi menyebutkan ada beza kerana keadaan itu berada di luar kemampuan Nabi untuk mengawal apabila sedang menunggang kenderaan dengan ketika itu berada pada kelajuan tinggi.
Seterusnya, dalil kedua yang menjadi perbahasan ini adalah dalil daripada hadis Aisyah iaitu:
كان أَنَّ عَائِشَةَ قَالَتْ: كَانَ النَّبِيُّ صِلى اللّٰه عِليه وسلم مُضْطَجِعًا فِي بَيْتِي، كَاشِفًا عَنْ فَخِذِهِ أَوْ سَاقَيْهِ، فَاسْتَأْذَنَ أَبُو بَكْرِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، فَأَذِنَ لَهُ كَذَلِكَ، فَتَحَدَّثْ. ثُمَّ اسْتَأْذَنَ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، فَأَذِنَ لَهُ كَذَلِكَ، تُمَّ تَحَدَّثَ. تُمَّ اسْتَأْذَنَ عُثْمَانٌ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، فَجَلَسَ النَّيَّ صلى اللّٰه عليه وسلم وَسَوَّى ثِبَابَهُ، قَالَ مُحَمَّدٌ: وَلَا أَقُولُ فِي يَوْمِ وَاجِدٍ، فَدَخَلَ فَتَحَدَّثْ، فَلَمَا خَرَجَ قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، دَخَلَ أَبُو بَكْرِ فَلَمْ تَهَشَّ وَلَمْ تُبَالِهِ، تُمَّ دَخَلَ عُمَرٌ فَلَمْ تَهَشَ وَلَمْ تُبَالِهِ، ثُمَّ دَخَلَ عُثْمَانُ فَجَلَسْتَ وَسَوَّيْتَ ثِيَابَكَ؟
قَالَ: أَلاَ أَسْتَجِي مِنْ رَجُلٍ تَسْتَجِي مِنْهُ الْمَلائِكَةُ؟.
Maksudnya: Aisyah berkata, “Nabi sedang berbaring di dalam bilikku dengan pahanya tidak ditutup ketika Abu Bakar meminta izin untuk masuk. Baginda mengizinkannya masuk tetapi baginda tidak membetulkan pakaiannya. Kemudian Umar meminta izin untuk masuk dan baginda mengizinkannya, baginda tetap tidak membetulkan pakaiannya kemudian Uthman meminta izin untuk masuk dan Nabi SAW duduk dan membetulkan pakaiannya, lalu beliau masuk dan berbual. Apabila Uthman keluar aku berkata, “Wahai Rasulullah, Abu Bakar telah masuk dan kamu tidak membetulkan pakaianmu, apabila Umar masuk kamu pun tidak membetulkan pakaianmu, tetapi apabila Uthman masuk kamu terus membetulkan pakaianmu.” Baginda bersabda, “Bukankah aku patut berasa malu di hadapan seorang lelaki yang para malaikat pun berasa malu?”
Hadis ini adalah hujah yang kuat bagi golongan yang mengatakan bahawa paha bukan aurat. Namun, terdapat sebahagian ulama Islam seperti Ibn Qattan menyebutkan dalam Ihkamul Nadhar bahawa selakan paha itu diragui. Hadis ini disebutkan oleh Imam Muslim tetapi yang sahih adalah riwayat Abi Musa yang menyebutkan bahawa yang terselak bukan paha tapi betisnya sahaja.
a) Hujah Golongan Ulama Yang Sebut Paha Bukan Aurat
Namun, pihak yang mengatakan paha itu bukan aurat berhujah bahawa kedua-dua riwayat itu tidak bertentangan kerana jika paha diselak maka betis juga akan ikut diselak.
b) Hujah Balas Ulama Yang Sebut Paha Aurat
Perbahasan ini tidak berhenti disitu tetapi ulama seperti Ibn Bathal dalam Syarh Ibn Bathal ketika mensyarahkan hadis ini mengatakan bahawa ini adalah pengkhususan kepada Nabi SAW untuk melakukannya pada sehabat-sahabat Nabi sesuai dengan kelebihan-kelebihan yang tertonjol oleh sahabat-sahabat Nabi SAW. Oleh kerana sifat Uthman yang menonjol adalah malu maka Rasulullah pun malu padanya.
Asy-Syaukani dalam kitab Nailul Authar menyebutkan bahawa hadis tersebut mengandungi dua makna iaitu pengkhususan bagi Nabi SAW sahaja untuk menampakkan paha dan keumuman hukum untuk diteladani oleh kita. Kedua-dua hukum tersebut muncul kerana kedua-dua hadis tersebut merupakan penceritaan terhadap perbuatan Nabi SAW bukan ucapan seperti larangan atau perintah.
Oleh itu, kedua-dua hadis tersebut tidak kukuh untuk dijadikan dalil bahawa paha lelaki bukan aurat.
c) Hujah Balas Ulama Sebut Paha Bukan Aurat Terhadap Hujah Balas Ulama Sebut Paha Aurat
Al-Utsaimin dalam al-Ushul min 'ilmil Ushul menyebutkan bahawa sesuatu perbuatan itu tidak dapat ditetapkan sebagai pengkhususan kepada Nabi SAW tanpa adanya dalil kerana asal perbuatan Nabi SAW adalah merupakan teladan.
Rumusan Perbincangan Hadis Kedua
Daripada apa yang kita dapat daripada perbahasan yang kedua daripada dalil yang kedua, kita dapat menyimpulkan bahawa kemunculan perbahasan mengenai hadis Aisyah ini adalah atas dua faktor. Yang pertama adalah melibatkan lafaz selak paha dan yang kedua adalah hadis ini adalah pengkhususan pada Nabi sahaja atau boleh diteladani oleh orang lain.
Hujah yang mengatakan yang diselak hanya betis disanggah dengan dikatakan bahawa jika paha diselak maka tentu betis juga akan terselak manakala hujah yang mengatakan hadis ini adalah pengkhususan kepada Nabi disanggah dengan dikatakan bahawa jika kita ingin mengkhususkan perbuatan tertentu pada Nabi kita memerlukan dalil yang mengatakan tentang pengkhususan.
Saya rasa cukup sampai disini sahaja saya menulis tentang isu ini untuk memahamkan kita semua tentang kenapa wujudnya khilaf mengenai paha itu aurat atau tidak dan saya berharap agar kita semua dapat mempelajari sesuatu dan mengambil manfaat daripada perbezaan yang muncul. Saya tidak setuju kita berlebih-lebih dalam menghukum orang yang tidak menutup paha sedangkan ini adalah isu khilaf yang sepatutnya kita sedia maklum mengenai kewujudannya.
Saya secara peribadi setelah melihat perbahasan-perbahasan yang ada saya cenderung untuk memilih pandangan yang mengatakan bahawa paha bukan aurat atas hujah ulama berdasarkan hadis Aisyah dan hujah-hujah yang dinyatakan namun atas sebab kita perlu menghormati uruf setempat dan mengelakkan pintu fitnah maka saya juga perlu tekankan kepada kita semua agar kita perlu untuk menutup paha jika bimbang akan berlakunya fitnah terhadap diri kita sendiri.