Soalan: Kalau kita kena bayar yuran pendaftaran untuk sesuatu pertandingan, duit yang Kita bayar akan digunakan untuk kegunaan pertandingan tersebut termasuk membeli hadiah kepada pemenang, jadi secara tidak langsung ada unsure perjudian la kan sejak Kita bayar tapi yang menang ja dapat hadiah? Mohon penjelasan.
Jawapan: Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam atas segala nikmat yang kita mampu merasai sehingga pada hari ini. Terima kasih kepada saudara Ahboy46 atas soalan yang baik dan mungkin mewakili kebanyakan golongan belia yang mungkin ada persoalan yang sama seperti saudara.
Pertandingan ataupun apa-apa peraduan merupakan satu cara yang sangat efektif untuk menggalakkan bakat, kreativiti dan semangat untuk bersaing secara sihat dalam masyarakat. Namun, apabila sesuatu pertandingan mengenakan yuran penyertaan dan hadiah yang diberikan kepada pemenang itu adalah hasil daripada kutipan yuran tersebut, maka timbul persoalan yang penting dalam hukum syarak iaitu adakah ini termasuk dalam unsur qimār (perjudian) ataupun tidak?
Dalam masyarakat Islam, setiap bentuk muamalat atau urusan kewangan perlu berdasarkan prinsip keadilan dan bebas daripada unsur yang diharamkan, seperti riba, gharar (ketidakpastian), dan qimār. [1]
Qimār didefinisikan oleh ulama sebagai:
“Setiap bentuk pertaruhan yang menyebabkan satu pihak mendapat keuntungan dengan menyebabkan pihak lain menanggung kerugian tanpa sebab yang dibenarkan syarak.” [2]
Dalam pertandingan berbayar, jika semua peserta membayar yuran dan hanya segelintir menang manakala peserta lain tidak mendapat sebarang pulangan, maka ia menyerupai prinsip maysir (perjudian).
1. Larangan Jelas dalam Al-Quran
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّمَا ٱلْخَمْرُ وَٱلْمَيْسِرُ وَٱلْأَنصَابُ وَٱلْأَزْلَـٰمُ رِجْسٌۭ مِّنْ عَمَلِ ٱلشَّيْطَـٰنِ فَٱجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, berhala, dan azlam adalah najis daripada perbuatan syaitan, maka jauhilah ia supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Ma’idah: 90)
2. Kaedah Fiqh:
“كل مسابقة يشترط فيها دخول المال من الطرفين فهي من الميسر المحرم.”
Maksudnya: “Setiap pertandingan yang mensyaratkan pembayaran dari kedua-dua pihak adalah termasuk dalam perjudian yang diharamkan.” [3]
Ianya haram apabila adiah dari yuran peserta kerana ini menjadikan pertandingan bersifat menguntungkan sebelah pihak dan menzalimi pihak lain.
Contoh:
Pertandingan online yang mengenakan bayaran RM50 kepada semua peserta. Hadiah RM1000 daripada duit penyertaan disediakan untuk 3 pemenang sahaja. Semua peserta lain tiada pulangan langsung. Ini adalah unsur qimār, kerana pihak penganjur mengutip wang untuk diberi semula kepada pemenang, dan peserta lain menanggung kerugian tanpa manfaat.
1. Hadiah dari penaja. Penganjur atau pihak ketiga menaja hadiah tanpa penglibatan peserta.
2. Duit tersebut hanya digunakan untuk pengurusan sahaja. Sebagai contoh, bayaran peserta itu digunakan untuk sewa tempat, sijil, juri, bahan, dll.
3. Semua peserta dapat manfaat balik seperti sijil, akses modul, seminar, dll
Untuk menyelesaikan masalah ini dengan lebih teliti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan garis panduan dalam menganjurkan pertandingan yang berasaskan hadiah. Diantara kriterianya mestilah mengelakkan berlakunya eksplotasi, kesamaran, pertaruhan, nasib dan pembaziran.
Rujuk: Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah JAKIM
Islam tidak menolak pertandingan, malah mendorong persaingan sihat. Namun, ianya harus bebas daripada unsur perjudian, penipuan dan eksploitasi.
Sebarang pertandingan berbayar yang menyerupai taruhan wang adalah syubhah atau haram kecuali memenuhi syarat yang ditetapkan syarak. Sebaiknya, hadiah mestilah ditaja, dan yuran digunakan untuk manfaat umum peserta.
Senarai Rujukan:
1. Al-Qaradawi, Fiqh al-Muamalat al-Maliyah al-Mu’asirah, Dar al-Qalam, 2001.
2. Ibn Qayyim, Ighasat al-Lahfan, 2/361.
3. Al-Syaukani, Nail al-Autar, Juz 8, hlm. 224.
Rujukan Tambahan: