Mutakhir ini ramai di kalangan remaja yang bangga menayangkan sijil SPM mereka yang gagal dalam masa yang sama menyebutkan bahawa mereka bersyukur kerana memperolehi keputusan sedemikian. Ini adalah perkara yang tidak sewajarnya berlaku dan ini menunjukkan betapa teruknya tanggapan kita terhadap pendidikan di negara kita atau bahasa mudahnya SPM yang menjadi ukuran masyarakat dalam menilai diri kita.
Saya setuju SPM bukan segala-galanya namun kita kena tahu SPM adalah mula bagi segala-galanya. Bermula daripada cara pandang orang terhadap diri kita dan yang paling penting menentukan sejauh mana kita mampu berfikir untuk menyelesaikan sesuatu masalah. SPM tidaklah ajar secara langsung perkara tersebut tetapi instrumen-instrumen dalam soalan SPM itulah yang ajar kebolehan tersebut.
Apabila kita melihat pelajar ini gagal semua subjek maka kita dapat simpulkan dengan mudah bahawa pelajar ini tidak dapat berfikir langsung untuk menyelesaikan masalah yang diminta dalam soalan SPM tersebut.
1. TEKNIK MUDAH HADAPI SPM
Berdasarkan pengalaman saya yang tidak seberapa ini untuk menjawab soalan KBAT sejarah tidaklah rumit dan format jawapan KBAT sejarah pun tidaklah sesusah PI yang tidak boleh mengulang perkataan yang telah digunakan pada ayat kita seterusnya mustahil calon ini tidak boleh lulus sejarah.
Jika PI, kita malas hafal pun sekurang-kurangnya cubalah untuk faham sikit sebab jika kita faham topik-topik dalam subjek PI ini akan membantu kita menjawab soalan KBAT ataupun merangsang ingatan kita mengenai istilah-istilah penting yang diperlukan bagi menjawab soalan-soalan fakta PI.
Jika BM dan Inggeris kita cuma perlu banyak membaca contoh-contoh karangan, buku-buku di perpustakaan, berbincang dengan kawan ataupun mencari idea bagi contoh-contoh soalan percubaan SPM. Ini bagi memastikan kita dapat menguasai banyak kosa kata yang menarik, memiliki pengetahuan yang luas tentang soalan-soalan dan membantu kita memahami format karangan SPM.
Untuk matematik, kita cuma perlu kuasai apa yang kiat dah belajar dari tingkatan 1 sehingga 5 sahaja. Kuasai topik menengah rendah yang kita tidak mampu faham tersebut dulu kemudian insya-Allah perkara tersebut akan membantu kita dalam menjawab soalan-soalan matematik tingkatan 4 dan 5.
2. JANGAN KRITIK SPM
Kita tidak boleh berbuat apa dengan SPM janganlah kita kritik SPM mahu atau tidak mahu kita kena menerima hakikat bahawa pandangan masyarakat terhadap orang yang memiliki sijil SPM yang banyak “A” adalah sangat berbeza dengan orang yang memiliki banyak “G” atau “TH”. Itu adalah realiti sekarang kita tidak boleh lari.
Cuma apa yang boleh dikritik adalah suasana pendidikan di sekolah kita. Bermula daripada pengurusan sekolah, infrastruktur sekolah, fasiliti sekolah, kaedah pengajaran guru-guru di sekolah, semangat pelajar-pelajar, layanan atasan terhadap guru-guru sekolah, keadaan pelajar di sekolah, kebajikan pelajar di sekolah dan banyak faktor lain yang menjadi asbab mengapa ramai yang tidak nampak kepentingan SPM berkaitan dengan masa depan mereka bahkan sehingga tidak malu menayangkan sijil SPM mereka yang gagal pada khalayak.
Faktor-faktor tersebut pihak kerajaan mesti mengambil berat jangan hanya mementingkan sekolah-sekolah yang sudah mempunyai pencapaian yang terbaik bahkan jangan hanya mengambil mudah terhadap segala rungutan cikgu dan menghalang guru-guru untuk bersuara.
Kita kena sedar dan akui bahawa sistem pendidikan kita masih mempunyai ruang yang luas untuk dikritik dan perlu ditambah baik.
Islam itu bermula daripada penyelarasan akidah yang benar, pembersihan pemikiran daripada mempercayai perkara-perkara yang karut dan bidaah, membetulkan akhlak, menyedarkan masyarakat daripada menyembah makhluk kepada menyembah Allah yang Maha Mencipta. Itu adalah asas Islam yang dibawa oleh junjungan besar. Islam bukan datang terus memperkenalkan masyarakat dengan hukum-hakam Islam sebaliknya Islam datang memperbaiki kebobrokan dalaman sehingga pada akhirnya wujudnya suasana yang boleh menyebabkan hukum-hakam Islam itu terlaksana (hudud) dan menyebabkan masyarakat pada ketika itu tidak mempersoalkan pun hukum-hukum Allah.
Begitu juga perkara yang sepatutnya dilakukan pada sistem pendidikan negara kita. Kerajaan sepatutnya memastikan keadaan, suasana dan fasiliti di sekolah-sekolah dalam negara kita berada pada tahap yang optimum tanpa mengira kedudukan atau nama sekolah kerana ini secara tidak langsung akan menyebabkan guru berasa seronok untuk mengajar dan murid berasa seronok untuk belajar. Keadaan ini juga akan membawa kepada kecemerlangan pelajar kerana mereka minat untuk belajar bukan dipaksa belajar.
3. RENUNGAN BUAT SEMUA PIHAK
Dengan timbulnya berita sebegini dan ditambah pula dengan 10 ribu lebih murid yang tidak mahu mengambil SPM perkara ini kita tidak sepatutnya meletakkan 100% beban kesalahan itu pada murid-murid berkenaan sebaliknya semua pihak termasuk kerajaan dan guru-guru di semua sekolah perlu merenung dan memikirkan inisiatif yang perlu dilakukan supaya kelompok tingkatan 5 tahun ini dan tahun-tahun yang seterusnya tidak lagi mengalami keadaan seperti ini lagi.
Jangan pandang rendah dan mengambil mudah dengan perkara yang berlaku kerana hakikatnya banyak perkara dalaman yang perlu diperbaiki supaya kita mampu memastikan perkara buruk seperti ini tidak diulangi lagi.
4. NASIHAT PADA KELOMPOK (BATCH) 06 2023
Sebagai mengakhiri penulisan ini, saya ingin menasihatkan diri saya dan kita semua agar selepas ini kita tidak akan melakukan perkara sebegini lagi yang mana perkara ini bukan memberi manfaat pada orang sebaliknya hanya menunjukkan kebodohan kita yang tebal pada masyarakat.
Ilmu adalah asas ketamadunan sesebuah masyarakat atau bangsa. Bangsa arab yang dahulunya digelar jahiliyah menjadi bangsa yang dianggap paling mulia bukan kerana bangsa atau bahasanya sebaliknya kedatangan Islam yang mengangkat nilai-nilai ilmu dan akhlak yang mulia. Sebagaimana kata Saidina Umar al-Khattab iaitu:
نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمتى ابتغينا بغير الإسلام أذلنا الله
Maksudnya: “Kita adalah umat yang Allah muliakan dengan Islam, apabila kita mencari kemuliaan selain daripada Islam, maka Allah pasti akan menghinakan kita.”
Kepada mereka yang gagal semua subjek, jangan memilih untuk putus asa dalam kehidupan jika perlu ulangi semula SPM tersebut jika tidak mahu pergilah lakukan perkara yang mana perkara tersebut mampu mengubah kehidupan diri kita.
Saya tidak mahu cakap perkara ini tapi saya cakaplah juga iaitu pergilah buat sesuatu yang boleh memberikan kekayaan kepada kehidupan anda supaya sekurang-kurangnya adalah sesuatu yang anda boleh sumbangkan pada jalan Allah tapi anda kena terima hakikat bahawa di sepanjang perjalanan hidup anda buah fikiran anda akan dipandang remeh dan dianggap hina oleh orang-orang yang mempunyai kelas pendidikan yang lebih tinggi.
Keputusan SPM anda itu akan melambangkan bagaimana cara fikir anda terhadap sesuatu isu. Berbeza tindakan orang kaya yang gagal SPM menghadapi serangan orang lain dengan orang kaya yang belajar di peringkat universiti menghadapi serangan orang lain dan situasi-situasi yang lain.
Anda tentukanlah sendiri bagaimana hala tuju kehidupan anda kerana pada akhirnya sesiapapun tidak dapat memaksa anda melainkan anda sahaja yang boleh menentukan apa yang terbaik dalam kehidupan anda. Di akhirat kelak, kita akan bertanggungjawab atas pilihan yang kita lakukan.
Wallahualam
Irfaan Yusuf
5 Julai 2024
28 Zulhijjah 1445H