Pop-up WhatsApp Takaful
WhatsApp
Skip to main content
Apa Dan Kenapa Saya Dilabel Wahabi
June 11, 2025 at 4:00 PM
by Irfaan Yusuf
img_0521.png

Soalan: Aslm abg. Sy fan abg drpd abg tak pernah kena kecam lagi. Sy minat cara abg bercakap dan isu yg abg bawa. Tapi, lama kelamaan sy tngk abg ni selalu ckp benda yang buatkan org ramai marah dan depa sebut abg wahabi. Boleh tak abg terangkan apa dan maksud wahabi tu? dan kenapa abg kena cakap benda tu padahal abg boleh ja tak lwn apa yg org dok selalu buat.

Jawapan: Waalaikumsalam warahmatullah wabarakatuh. Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam yang sentiasa memberikan kita peluang untuk hidup dan juga peluang untuk melakukan apa yang kita lakukan sehingga pada hari ini. Terima kasih kepada saudara kerana sudi menggunakan Maktabah al-Yusuf yang saya asaskan untuk ajukan soalan yang pada saya menarik untuk saya jawab di sini.

Bahkan, terima kasih lagi saya ucapkan kepada saudara kerana memberi sokongan pada dakwah yang saya lakukan sejak dari peringkat awal lagi bahkan dari zaman saya belum pernah "kena kecam" lagi. Saya sangat hargai soalan yang saudara ajukan ini. Soalan ini diajukan dengan nada terbuka dan penuh adab. Ia mencerminkan satu sikap matang dalam memahami dan meneliti perihal perbezaan pandangan, sesuatu yang amat diperlukan dalam wacana agama kita pada hari ini.

Berdasarkan kepada pemahaman saya terhadap soalan yang saudara ajukan ini, saya dapat cerakinkan persoalan saudara kepada beberapa noktah berikut:

  • Apakah maksud Wahabi
  • Mengapa perlu menyuarakan pandangan yang sering mengundang kecaman

Apakah Maksud Wahabi

Secara ringkas dan mudah untuk difahami, istilah “Wahabi” lazimnya merujuk kepada gerakan islah (reformasi agama) yang diasaskan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab (1703–1792M) di Semenanjung Arab, khususnya di wilayah Najd. Tujuan utama dakwah beliau adalah untuk:

  • Memurnikan akidah umat Islam daripada unsur syirik, khurafat dan amalan bidaah
  • Menyeru agar kembali kepada ajaran agama berlandaskan al-Quran dan Sunnah berdasarkan kefahaman generasi awal Islam (salafus soleh)

Namun, dalam konteks semasa di negara kita, istilah “Wahabi” kerap digunakan secara jahat dan emosional untuk melabel atau menjatuhkan individu atau tokoh yang:

  • Tegas dalam isu tauhid dan sunnah
  • Tidak mengamalkan amalan yang popular atau oleh kebanyakan orang jika tidak disokong oleh dalil yang sahih lagi sarih
  • Cenderung kepada pendekatan golongan salafi atau ijtihad berdalil
  • Terbuka tanpa mengikat diri kepada satu mazhab sahaja

Agamawan yang sering bercakap tentang wahabi ini selalu menggambarkan yang wahabi ini adalah jahat dan selalu menyesatkan umat Islam yang mahu beramal dengan amalan "tok-tok guru dulu." Ketahuilah, semua perkara yang disebutkan oleh mereka yang mengambarkan wahabi itu adalah ini dan itu sebenarnya hanyalah dusta semata-mata.

Sebaliknya, golongan yang dimomokkan dengan labelan wahabi ini tidak pernah melakukan apa-apa perubahan terhadap ajaran agama Islam ini. Apa yang mereka lakukan adalah berusaha keras bagi menghidupkan semula dan mengajak umat semula agar mengamalkan agama ini berlandaskan al-Quran dan sunnah bukan hanya semata-mata mengikut kerana "tok guru kata, orang dah lama buat atau wali dulu dok buat."

Akhir sekali, kita perlu ketahui bahawa bukan semua yang dilabel “Wahabi” itu benar-benar membawa dan memperjuangkan ideologi pemikiran Muhammad bin Abdul Wahhab. Dalam banyak keadaan dan situasi, istilah ini lebih digunakan sebagai senjata utama untuk menutup perbezaan pandangan dan mengelakkan perbincangan ilmiah.

Kenapa Saya Dilabel Sebagai Wahabi

Antara sebab saya selalu dilabel sebagai wahabi oleh kebanyakan orang adalah kerana saya selalu mengutarakan pandangan agama yang bagi kebanyakan orang ganjil dan pelik tetapi sebenarnya itulah yang terdapat dalam perbincangan dan perbahasan ulama terdahulu. Selain itu, saya juga berpegang bahawa kebanyakan amalan agama yang dilakukan oleh kebanyakan masyarakat kini adalah sebagai bidaah dan mesti ditinggalkan. Sebagai contoh, wirid secara berjemaah, kaifiat khusus dalam tahlil arwah, kenduri arwah, pengkhususan bacaan yaasin malam Jumaat dan lain-lain.

Walaupun amalan ini katanya sudah lama bertapak di negara kita dan dibawa oleh tok-tok guru dan juga wali songo atau mungkin amalan ulama. Kita yang tahu bahawa amalan-amalan ini bukan daripada Nabi maka kita seharusnya mengambil keputusan untuk mengubah dan meninggalkannya bukan terus mempertahankannya atas alasan "ini adalah bidaah hasanah."

Mungkin suatu ketika dahulu, mereka ada sebab mereka yang tersendiri dan mungkin ada faktor suasana masyarakat yang menyebabkan mereka mengajarkan amalan-amalan itu kepada kita walaupun kemungkinan besar mereka sudah sedia maklum bahawa amalan itu tidak pernah dilakukan pada zaman Nabi dan oleh generasi awal. Lagipun, tanpa dakwah mereka di Tanah Melayu pada peringkat awal tentu kita masih lagi kekal sebagai penganut Hindu-Buddha sehingga pada hari ini. Tapi itu tidak menjadi alasan untuk kita mengubahnya.

Selain itu, saya juga cenderung membawa perbahasan fiqh taisir atau pendekatan fiqh yang memudahkan kepada lapangan masyarakat yang mungkin sedikit sebanyak memberi kejutan kepada orang yang telah lama berpegang kepada prinsip "lagi susah agama, maka itulah agama." Jika ada yang kenali saya sewaktu di MRSM tentu mereka tahu bagaimana cara saya membincangkan sesuatu isu agama kepada mereka yang mungkin kadangkala mengundang ketidakpuasan asatizah di MRSM saya.

Mengapa Perlu Menyuarakan Pandangan Yang Sering Mengundang Kecaman?

Secara jujurnya, saya tidak bercakap perkara tersebut hanya semata-mata untuk meraih populariti dan kedudukan. Jika betul saya mahukan populariti dan kedudukan lebih baik saya bercakap perkara yang lebih selamat. Namun, saya melihat keperluan untuk memberikan pencerahan terhadap isu-isu yang sering disalahfahami dalam masyarakat. Antara sebab utama saya memilih untuk tetap menyuarakan perkara ini adalah:

a) Memberi Kesedaran Tentang Wujudnya Khilaf

Dalam banyak isu fiqh, terdapat perbezaan pandangan yang muktabar dalam kalangan para ulama. Namun, masyarakat kita kadangkala hanya mengetahui satu pandangan sahaja lalu menganggap semua pandangan lain sebagai salah, bahkan sesat. Ini sangat bercanggah dengan akhlak ilmu yang sebenar.

Sebagai contoh, mengenai isu paha lelaki bukan aurat. Jika anda membaca tujuan saya menulis isu tersebut tentu anda akan faham apa yang saya maksudkan ini. Setersunya, mengenai isu kulit babi bukan najis seperti yang disebutkan oleh Mufti Perlis. Saya menulisnya untuk menjelaskan kepada masyarakat bahawa wujudnya pandangan itu dalam perbahasan ulama.

b) Membetulkan Salah Faham dan Taklid Buta

Apabila amalan masyarakat setempat dijadikan ukuran mutlak tanpa penelitian dalil yang sahih lagi sarih, maka berlaku kecenderungan kepada taksub mazhab dan taklid buta. Akibatnya, amalan-amalan yang bidaah dan tidak ada pun pada zaman Nabi diamalkan sehingga amalan-amalan yang sunnah tidak lagi diamalkan atau diangkat kerana katanya "amalan ni, amalan tok guru kami, hampa sapa nak lawan tok guru?" Atau "benda baik apa salahnya."

Akhirnya, ianya membuka ruang kepada perpecahan umat dan kejumudan dalam berfikir. Maka, menjadi tanggungjawab sebagai orang yang memahami keadaan ini untuk menjelaskannya, walaupun kita berisiko tinggi untuk tidak disenangi oleh rakan dan keluarga.

c) Tanggungjawab Ilmiah dan Amanah Ilmu

Mengetahui kebenaran tetapi memilih untuk berdiam diri kerana takut tidak popular atau risau kedudukan yang telah kita raih akan tergugat, maka itu adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap ilmu. Justeru, saya secara peribadi memilih untuk menyuarakan pandangan berdasarkan hujah, walaupun ia bukan pandangan arus perdana.

Mengapa Tidak Diam Sahaja?

Mungkin ada yang beranggapan, “Kalau tahu orang akan marah, kenapa perlu cakap?” Namun, diam bukan jalan penyelesaiannya jika ia menghalang orang ramai daripada:

  • Mengetahui keluasan perbahasan dalam isu fiqh Islam
  • Mengelakkan salah faham terhadap hukum sesuatu perkara
  • Belajar untuk berlapang dada dengan perbezaan pandangan

Dalam keadaan dunia yang serba terbuka ini, umat Islam kini perlu dididik untuk mendengar, menilai, dan menghormati perbezaan, bukan menolak atau memusuhi sesuatu semata-mata kerana tidak pernah diajarkan kepada mereka sebelum ini.

Penutup: Saya Bukan Anti-Mazhab, Saya Pro-Ilmu

Saya bukanlah “Wahabi” dalam pengertian negatif yang sering dilabelkan. Saya tidak menolak mazhab Syafie, bahkan sangat menghargainya dan menghormatinya. Namun saya juga percaya bahawa ilmu Islam terlalu luas untuk dikunci dalam satu bentuk cara atau satu budaya.

Saya menyeru kepada semua yang membaca agar:

  • Berfikir dengan ilmu, bukan emosi
  • Menilai hujah, bukan gelaran atau kemasyhuran seseorang semata-mata
  • Mencintai kesatuan dalam kepelbagaian pandangan
  • Lihat apa yang dibicarakan, jangan lihat siapa yang berbicara

Akhir kata, saya sentiasa terbuka untuk ditegur, dibetulkan, dan berbincang secara ilmiah. Mudah-mudahan Allah memelihara kita daripada kesesatan dan menunjuki kita semua ke jalan yang diredhai-Nya.

Saya sertakan sekali sebuah doa untuk kita memohon kepada Allah petunjuk dan perlindungan daripada kebatilan:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami yang benar itu sebagai benar, dan rezekikan kami untuk mengikutinya; dan tunjukkanlah kepada kami yang batil itu sebagai batil, dan rezekikan kami untuk menjauhinya.

(Riwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dan lain-lain)